PRN: Jangan bergantung kepada populariti semata-mata - Dr Taufiq





 Oleh: Abdullah Zaid


Strategi PN Kedah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini kelihatannya amat bergantung kepada populariti tokoh dan bukan prestasi Kerjaan Negeri diterajui Menteri Besar (MB) Datuk Seri Sanusi Md Nor.


Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, Pas - PN Kedah pada waktu ini mengambil pendekatan glamour yang antaranya menamakan Baddrol Bakhtiar, bekas pemain bola sepak kebangsaan sebagai calon PRN bagi menarik sokongan anak muda.


Oleh itu, beliau menyifatkan langkah tersebut agak tidak pratikal sekiranya PN berpaksikan populariti semata-mata.


"Sebenarnya dalam pilihanraya saya tidak menentang influencer (pempengaruh atau sesiapa pun menjadi calon). Bahkan saya menyokong hasrat Baddrol sebab dia ada ideologi tersendiri, mungkin dia mahukan kepimpinan Sanusi.


"Tetapi saya nak ingatkan pengundi Kedah. Adakah kita menyokong sosok tubuh hanya disebabkan populariti semata-mata atau pelan yang boleh memanfaatkan Kedah, kerana jika sebaliknya maka tergadailah negeri kita," katanya kepada Suara Keadilan.


Tambah Ahli Parlimen Sungai Petani itu lagi, pengundi di utara tanah air itu lebih cenderung untuk memilih calon berdasarkan prestasi khidmat masyarakat daripada populariti semata mata.


"Saya tengok orang Kedah depa (mereka) menilai service (khidmat) yang mampu diberikan kepada mereka.


"Oleh itu, saya lihat calon KEADILAN tidak kurang hebatnya kerana calon-calon KEADILAN berkebolehan, lebih menyantuni dan telah lama berkhidmat untuk rakyat dan perkara ini yang pengundi mahukan," katanya lagi.


Terdahulu, bekas pemain bola sepak kebangsaan Baddrol Bakhtiar dinamakan sebagi calon PN bagi PRN Kedah pada 12 Ogos ini.


Sementara itu, lidah rasmi Pas pula melaporkan anak kelahiran Kedah itu menyifatkan MB Sanusi sebagai idolanya walaupun pemimpin Pas terbabit terpalit pelbagai kontroversi.


Sehingga kini, status kerusi DUN dan manifesto yang bakal dibawa oleh Baddrol masih belum diumumkan.


No comments: