Pastikan Kerajaan Perpaduan menang semua kerusi Port Dickson


 Kerajaan Perpaduan perlu menang kesemua 5 kerusi dalam parlimen Port Dickson untuk memastikan berjaya membentuk Kerajaan Negeri yang stabil dalam Pilihan Raya Negeri kali ini.


Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata demikian dalam ceramah Jelajah Madani DUN Sri Tanjung, malam tadi.


Katanya, rakyat ingin melihat penduduk Port Dickson terus disantuni dan khidmat cemerlang Pakatan Harapan diteruskan dalam bentuk kerjasama Kerajaan Perpaduan.


"Hari ini KEADILAN memilih Dr Rajasekaran (calon DUN Sri Tanjung) untuk menjadi calon dan menang pilihanraya.


"Ini kerana 10 tahun Dr Raja di Port Dickson saya banyak dengar beliau khidmat ziarah penduduk.


"Itu penting. Kita boleh bagi barang dapur sehingga ke depan pintu tetapi Dr Raja boleh beri khidmat kedoktorannya sehingga atas katil orang yang tidak dapat bergerak.


"Saya minta Dr Raja berkhidmat di seluruh Port Dickson, mana sahaja ada masalah kesihatan kita minta Dr Raja ziarah mereka dan pastikan mereka mendapat perkhidmatan yang baik," katanya.


Beliau yang juga penyandang Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, mungkin PN akan meletakkan calon profesional untuk menandingi calon Perpaduan, namun kelebihan calon KEADILAN seperti Dr Raja, katanya, telah pun teruji memberi khidmat bakti kepada masyarakat di Port Dickson.


"Saya nak ADUN berkhidmat dengan baik selepas ini. Inilah perpaduan kita. Kita nak servis rakyat Port Dickson ini. Saya nak beri khidmat kepada rakyat.


"Kita pastikan kemenangan di Port Dickson. Kita nak menang di DUN Chuah, di DUN Lukut, DUN Sri Tanjung, DUN Bagan Pinang, DUN Linggi. Ini menunjukkan kesefahaman kita," katanya.


Tegas Aminuddin, selepas ini Pakatan Harapan dan Barisan Nasional akan sederap dalam gerak kerja dan mahu bersatu padu mentadbir negeri.


"Dulu kita tak bersama. Saya dengan Datuk Faizal (Ketua Umno Bahagian) jarang jumpa.


"Sekarang dapat bersama satu pentas. Itu kita tak pernah terfikir. Kita kena berkerja dengan satu matlamat. Negara perlukan kita," katanya lagi.

No comments: