PRN Kedah: Undi anak muda mula beralih kepada PH - BN





Oleh: Abdullah Zaid



KEADILAN Kedah optimis sokongan pengundi muda sudah beralih kepada Kerajaan Perpaduan dan peralihan itu dijangka akan lebih signifikan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.



Menurut Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Kedah, Dr Mohammed Taufiq Johari, hasil daripada data semasa yang diperolehi perubahan sokongan belia kepada gabungan PH - BN dilihat berbeza berbanding Pilihan Raya Umum ke15 lalu.



"Berbanding PRU15 kita berhadapan dalam keadaan (suasana) mengejut (pembubaran parlimen secara tiba-tiba) dan pengundi 18 adalah pengundi kali pertama.



"Jadi (dalam PRN ini) kita perbanyakkan program bersama anak muda dan menyentuh isu-isu belia termasuk bantuan kepada belia dan mendekati golongan mahasiswa.



"Ia secara tidak langsung menjana satu perubahan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan," katanya kepada Suara Keadilan.



Jelas Ahli Parlimen Sungai Petani itu, golongan belia di luar bandar juga disantuni oleh sayap pemuda KEADILAN melalui program bertemu rakyat melibatkan kerjasama ketua masyarakat setempat.



"Bagi pengundi muda di luar bandar, kami banyak melakukan program menyantuni mereka contoh (melibatkan) sukan dan e-sport.



"Ia juga melibatkan kerjasama pihak pemimpin (masyarakat) tempatan," ujarnya lagi.



Sementara itu, pada 21 Julai lalu, Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan 10 calon KEADILAN untuk DUN Kedah yang menampilkan beberapa penyandang dan muka baharu.



Selain Kedah, Pengerusi Pakatan Harapan itu juga menamakan 48 calon KEADILAN untuk bersaing di lima buah negeri, dengan misi mempertahankan pentadbiran Pakatan Harapan (PH), selain merampas sekurang kurangnya satu negeri yang disandang oleh gabungan PN.