WOWW…PROJEK PERTAMA DARIPADA KOMITMEN PELABURAN RM170 BILION CHINA AKAN BERMULA BULAN DEPAN

 

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim berkata salah satu projek daripada rekod komitmen pelaburan bernilai RM170 bilion dari China itu dijangka dimulakan seawal bulan depan.

Anwar berharap pelaksanaan projek-projek itu akan menjadi galakan kepada pelabur lain.

“Projek awal yang pertama dijangka bermula selewat-lewatnya Mei,” kata Anwar, yang juga Menteri Kewangan, pada sidang media pasca mesyuarat kabinet di Putrajaya hari ini.

“Ini akan memberi dorongan kepada pelabur selain mereka yang menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU), bermakna pelaksanaannya perlu disegerakan.

“Sebab itu saya juga merayu kepada kerajaan negeri dan majlis tempatan yang berkaitan supaya memastikan proses (berkaitan projek) dipercepatkan supaya tidak menjadi masalah kepada syarikat terbabit.

“Peraturan dan undang-undang mesti ditentukan dan dipatuhi sepenuhnya dan semua kajian daripada jabatan itu mesti diselesaikan.

“Tetapi jangan mengambil terlalu banyak masa, kerana dalam keadaan semasa kita perlu memacu pelaburan yang lebih cergas,” tambah ahli Parlimen Tambun itu.

Minggu lalu, Anwar ketika lawatan empat harinya ke China, memperoleh komitmen pelaburan bernilai RM170 bilion, yang mana ia merupakan yang terbesar bagi Malaysia sehingga kini.

Sebanyak 19 MoU telah ditandatangani antara syarikat Malaysia dan China.

Antaranya, kata Anwar, adalah pelaburan dianggarkan RM80 bilion oleh Rongsheng Petrochemicals Co Ltd dalam kilang penapisan petrokimia.

Beliau juga berkata pembuat kereta Zhejiang Geely Holding Group (Geely), akan melabur RM2 bilion pada mulanya dan kemudiannya akan meningkatkan jumlah itu sehingga RM32 bilion.

Anwar juga memberitahu akhbar hari ini bahawa beliau akan mempengerusikan mesyuarat khas mengenai pelaburan RM170 bilion bagi memastikan pelaksanaan projek-projek itu lebih berkesan.

Katanya, beliau dan menteri-menteri lain yang berkaitan daripada kabinetnya akan berbincang dengan kerajaan negeri mengenai projek yang dicadangkan terutama negeri yang menerima sumbangan pelaburan besar dari China. – 5 April, 2023.



No comments: