Menjawab kritikan umum terhadap ketidakhadiran pemimpin utama blok pembangkang ketika sesi soal jawab dengan Perdana Menteri di Parlimen, Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, bukan semua Ahli Parlimen boleh bertanya soalan ketika sesi tersebut.
Dengan itu, menurut beliau, ketidakhadiran pemimpin utama pembangkang seperti Presiden Pas, Hadi Awang; Presiden Bersatu, Mahiaddin Md Yasin dan Ketua Pembangkang, Hamzah Zainuddin tidak sepatutnya menjadi isu yang berbangkit.
“Ramai yang tersilap faham keperluan hadir semasa sesi soal jawab dengan Perdana Menteri atau PMQ yang ditetapkan pada setiap Selasa itu.
“Semasa sesi PMQ bukan semua orang boleh tanya soalan Perdana Menteri, kalau Presiden PAS, Abdul Hadi Awang hadir pun bukan boleh tanya soalan.
“Orang yang tanya soalan bertulis saja, apabila Perdana Menteri jawab, orang yang sama saja boleh bertanyakan soalan tambahan, bukannya sesuka hati orang lain boleh mencelah,” katanya.
Dua persoalan timbul daripada penjelasan Tuan Ibrahim ini:
Pertama, kalau begitu, kenapa pemimpin utama blok pembangkang seperti Hadi, Mahiaddin dan Hamzah tidak mengemukakan soalan bertulis kepada Perdana Menteri untuk dijawab ketika sesi PMQ itu?
Jika mereka mengemukakan soalan bertulis, setidak-tidaknya dapat lagi mengemukakan soalan tambahan daripada perkara yang dibangkitkan.
Ini tidak, sudahlah tidak hadir ketika sesi PMQ, menghantar soalan bertulis pun tidak juga.
Jadi, apa peranan mereka dalam semak dan imbang terhadap kerajaan?
Yang kedua, dalam setiap soalan tambahan secara bertulis yang dikemukakan oleh seseorang Ahli Parlimen, selain penanya soalan dibenar mengemukakan soalan tambahan, ia juga terbuka kepada mana-mana Ahli Parlimen lain, baik kerajaan atau pembangkang, untuk turut mengemukakan soalan tambahan.
Jadi, di mana asasnya hujah Tuan Ibrahim kononnya kalau Hadi Awang hadir pun, dia tidak boleh bertanya soalan?
Hakikatnya masih terbuka ruang untuk meminta penjelasan dan bertanya soalan kepada Perdana Menteri dalam sesi soal jawab itu.
Pokoknya, mahu dan tidak mahu saja dan paling penting, jangan malas hadir ke Parlimen.
Kalau di pentas ceramah, di sidang media atau sembang sesama sendiri bukan main lagi banyak isu dalam negara yang dibangkitkan, kenapa tidak gunakan saluran yang betul?
Tulis dan kemukakan soalan secara bertulis atau bangun mencelah untuk bertanya soalan tambahan, bukankah itu bermakna ruang sentiasa terbuka?
Sudah tentu semua itu hanya dapat dilakukan dengan wajib hadir ke Parlimen dan sedia untuk aktif memainkan peranan semak dan imbang yang ditunggu-tunggu rakyat sebagaimana digalas Anwar Ibrahim ketika beliau bergelar Ketua Pembangkang sebelum ini, walaupun ketika itu belum diwujudkan lagi sesi PMQ itu.
Cuba tengok Shahidan Kassim, disebabkan beliau rajin hadir ke Parlimen, peranannya sentiasa kelihatan menonjol.
Tapi, kalau awal-awal lagi tidak hadir ke Parlimen yang memberi gambaran tidak mahu atau malas berperanan aktif, memanglah tidak dapat bertanya apa-apa soalan.
Bercakap nak tebuk atap, kenapa pula boleh aktif? – ShahbudinHusin 06/04/2023