Malaysia kekal sokong perjuangan rakyat Palestin
Malaysia akan menyokong usaha berterusan untuk menamatkan penderitaan rakyat Palestin.
Hal itu merupakan intipati perbincangan secara atas talian malam tadi antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.
“Menerima panggilan telefon daripada TYT Mahmoud Abbas, Presiden Palestin bagi merakamkan ucapan tahniah sempena pelantikan saya sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.
“Kami mengulangi kesediaan untuk memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Palestin di dalam pelbagai lapangan termasuk perdagangan, hubungan sesama rakyat serta pendidikan,” katanya.
Anwar menegaskan komitmen Malaysia yang yang tidak berbelah bahagi sejak berdekad dekad lalu untuk melihat kesensaraan rakyat Palestin di tangan rejim Zionis Israel ditamatkan segera.
“Saya juga menzahirkan simpati atas nasib yang menimpa rakyat Palestin dan menegaskan komitmen serta solidariti berterusan Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin untuk membebaskan Palestin dari cengkaman Zionis Israel.
“Di bawah pentadbiran saya, Malaysia akan kekal teguh dalam perjuangan untuk menamatkan penderitaan berpanjangan rakyat Palestin dan mengembalikan keamanan, kebebasan dan kemerdekaan Palestin,” katanya lagi.