MAHIADDIN WAJAR LEBIH DULU MENYESALI KESOMBONGANNYA, JIKA UMNO ITU KLEPTOKRAT, APAKAH DIRINYA SENDIRI BENAR2 BERSIH?

 

Terasa lucu pula bila membaca kenyataan Mahiaddin Md Yasin yang mengecam susunan kabinet Anwar Ibrahim sebagai paling mengecewakan dalam sejarah negara.

Beliau menjadikan perlantikan Ahmad Zahid Hamidi selaku Timbalan Perdana Menteri sebagai sandaran paling asas dalam hujah kecamannya itu.

Menurut beliau, Anwar sudah menggadai prinsip tatakelola yang baik seperti yang dijaja semasa kempen PRU15 lalu dengan menerima kleptokrat dalam kabinetnya.

“Ini adalah barisan kabinet paling mengecewakan dalam sejarah negara apabila seorang yang telah (diarah) membela diri terhadap 47 pertuduhan jenayah rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram di mahkamah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Tindakan Anwar itu ibarat menjual maruah negara semata-mata kerana keinginannya menjadi Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan melalui media sosialnya.

Untuk makluman Mahiaddin, melantik seseorang yang ada kes mahkamah bukan pertama kali berlaku di negara ini kerana Tun Mahathir Mohamad pada 2018 sebelum ini pun melakukan hal yang sama juga.

Malah Tun Mahathir bukan saja memberikan Lim Guan Eng jawatan Menteri Kewangan, malah menggugurkan kes mahkamah yang sedang dihadapinya.

Ini berbeza dengan Anwar, beliau hanya melantik Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri, tetapi tidak menyentuh sama sekali kes mahkamah yang sedang dihadapi oleh Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Bererti, meskipun dilantik menganggotai kabinet, Zahid Hamidi masih perlu hadir ke mahkamah dan terus berjuang untuk membersihkan namanya.

Dalam hal ini, kenapa hanya dalam kes perlantikan Zahid Hamidi saja Mahiaddin bersuara, tetapi diam membisu ketika Guan Eng dilantik sebelum ini?

Apakah Mahiaddin berteriak sekarang kerana kecewa lantaran gagal menjadi Perdana Menteri dan meletakkan PN sebagai kerajaan, sebaliknya jawatan itu jatuh kepada Anwar?

Dalam hal ini, baik kerana terlantiknya Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri atau disebabkan PN gagal menjadi kerajaan, semuanya adalah disebabkan salah Mahiaddin sendiri.

Jika Mahiaddin tidak sombong dan ego menolak titah Agong agar PN menubuhkan kerajaan perpaduan bersama PH, apa yang berlaku hari ini pasti tidak berlaku.

Kiranya kerajaan perpaduan PH dan PN dapat ditubuhkan sebagaimana titah Agong dan apa yang berlaku hari ini dapat dielakkan, maka sudah tentulah tidak mungkin Zahid Hamidi dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri sekarang ini.

Pokoknya, kesalahan awal ada pada Mahiaddin sendiri kerana sombong dan ego menolak penubuhan kerajaan perpaduan itu.

Maka, janganlah menyesal dan meroyan tak tentu pasal pula sekarang ini.

Kalau mahu meroyan juga, lebih baik hantuklan saja kepala sendiri ke dinding kerana kesombongan menolak titah Agong itu dengan terlalu cepat.

Setelah Mahiaddin menolak menubuhkan kerajaan perpaduan yang bererti beliau memilih menjadi pembangkang, Anwar dan PH yang akur dengan titah Agong itu tentulah kena berusaha mencari sokongan lain bagi membentuk kerajaan.

Harus juga difahami, sebagaimana saya tulis sebelum ini, setelah bekerjasama dengan BN yang memiliki 30 kerusi Parlimen, melantik Zahid Hamidi yang masih ada kes menganggotai kerajaan hanyalah suatu mudarat kecil berbanding mungkin berlaku mudarat lebih besar iaitu kerajaan dijatuhkan jika beliau tidak dilantik.

Kalau berlaku lagi kerajaan dijatuhkan seperti sebelum ini, yang susah dan menderita akhirnya tentulah rakyat dan Anwar tidak mahu melihat ia berulang lagi.

Soal kerajaan yang bersih dan tata kelola yang baik tidak bererti telah terpadam hanya dengan beradanya Zahid Hamidi dalam kerajaan kerana beliau masih perlu berjuang membersihkan namanya di mahkamah.

Kerajaan yang bersih dan tata kelola yang baik mungkin boleh dianggap telah musnah jika Anwar bertindak menggugurkan kes Zahid Hamidi sebagaimana Tun Mahathir melakukannya kepada Guan Eng sebelum ini.

Kalau kita percaya, yakin dan gembira dengan kebebasan mahkamah kerana menjatuhkan hukuman terhadap Najib Razak, tiada sebab kita tak boleh ada perasaan yang sama kepada mahkamah dalam kes Zahid Hamidi.

Lagi pun, kalau nak bercakap soal kleptokrat dan penyamun, ia bukan saja ada dalam UMNO, bahkan bersepah di mana-mana, tidak terkecuali dalam Bersatu sendiri.

Cuba Mahiaddin bertafakur sebentar di atas sejadah dan mengimbas sejarah dirinya sendiri, benarkah beliau benar-benar suci bersih sepanjang kuasa ada dalam tangannya sejak puluhan tahun sebelum ini? – ShahbudinHusin 03/12/2022.



No comments: