Buat dasar jelas, jangan tak konsisten, Tengku Zafrul diberitahu.
PETALING JAYA: Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia menggesa Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Zafrul Aziz memperkenalkan dasar pro-perniagaan jelas untuk meyakinkan pelabur.
Presidennya, Christina Tee berkata, pemain industri juga berharap tiada keputusan tidak konsisten diambil bagi menguatkan komitmen tadbir urus negara untuk menarik pelabur domestik dan asing.
“Beliau juga harus bekerja keras untuk membawa masuk pelaburan langsung asing,” katanya kepada FMT.
Pengerusi Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia, William Ng meminta Tengku Zafrul komited menjayakan Pelan Tindakan Perdagangan Nasional (2021-2025) bagi menjadikan mereka lebih berdaya tahan di peringkat global.
Menurutnya, antara keutamaan ketika ini adalah meningkatkan produktiviti dan menyokong usaha pendigitalan serta automasi.
“Tengku Zafrul tidak asing kepada industri dan faham selok-belok perniagaan serta perdagangan.
“Sebagai bekas menteri kewangan, beliau menyokong perniagaan dan kami berharap dapat terus bekerjasama dengannya sebagai menteri perdagangan antarabangsa dan industri untuk memacu perdagangan serta pembangunan industri,” katanya.
Tokoh perbankan itu akan mengangkat sumpah sebagai senator esok sebelum menjadi menteri perdagangan antarabangsa dan industri.
Beliau yang bertanding di Parlimen Kuala Selangor pada pilihan raya umum ke-15 tewas kepada calon PH, Dzulkefly Ahmad.