Semua orang rasanya sudah maklum mengenai barisan menteri kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim malam tadi.
Berikut adalah senarai penuh barisan kabinet itu:-
1. Perdana Menteri, Menteri Kewangan: Anwar Ibrahim
2. Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah: Ahmad Zahid Hamidi
3. Timbalan Perdana Menteri, Menteri Perladangan dan Komuniti: Fadillah Yusof
4. Menteri Pengangkutan: Anthony Loke
5. Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan: Mohamad Sabu
6. Menteri Ekonomi: Rafizi Ramli
7. Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan: Nga Kor Ming
8. Menteri Pertahanan: Mohamad Hasan
9. Menteri Kerja Raya: Alex Nanta Linggi
10. Menteri Dalam Negeri: Saifuddin Nasution Ismail
11. Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri: Tengku Zafrul Abdul Aziz
12. Menteri Pendidikan Tinggi: Khaled Nordin
13. Menteri Sains dan Teknologi: Chang Lih Kang
14. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat: Nancy Shukri
15. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup: Salahuddin Ayub
16. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi): Azalina Othman Said
17. Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim: Nik Nazmi Nik Ahmad
18. Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi: Ewon Benedick
19. Menteri Luar Negeri: Zambry Kadir
20. Menteri Pelancongan: Tiong King Sing
21. Menteri Komunikasi Digital: Fahmi Fadzil
22. Menteri Pendidikan: Fadhlina Sidek
23. Menteri Perpaduan Negara: Ago Dagang
24. Menteri Agama: Dr Naim Mokhtar
25. Menteri Belia dan Sukan: Hannah Yeoh
26. Menteri Sumber Manusia V Sivakumar
27. Menteri Kesihatan: Dr Zaliha Mustafa
28. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah Sarawak): Armizan Mohamad Ali
Dengan barisan kabinet yang diumumkan itu, fokus utama Perdana Menteri dan kerajaan tentulah untuk memastikan kepentingan rakyat dan memulihkan ekonomi negara dilakukan dengan sebaik baik yang mungkin.
Rakyat pula pasti tertunggu-tunggu, terutamanya untuk melihat hasil sentuhan Anwar selaku Menteri Kewangan dan Rafizi Ramli sebagai Menteri Ekonomi untuk memacu hasil pertumbuhan kewangan negara yang memberangsangkan..
Tetapi, sebagaimana kita semua sedar, memulihkan ekonomi ini adalah usaha yang memerlukan jangka masa yang panjang untuk melihat hasilnya dapat dinikmati.
Segala perancangan boleh jadi terbantut jika kerajaan tidak stabil, lebih-lebih lagi kalau tidak mampu bertahan lama.
Sebab itu, fokus yang tidak boleh diabaikan dan pasti disedari Anwar selaku Perdana Menteri ialah bagaimana untuk memastikan kerajaan perpaduan ini mampu bertahan dengan lebih lama dan tidak seperti apa yang berlaku selepas PRU14 lalu di mana tiga Perdana Menteri bertukar dalam tempoh tidak sampai lima tahun.
Anwar nampaknya memandang serius soal untuk mempertahankan jangka hayat kerajaan itu, sambil menyedari ancaman paling hampir kepada keruntuhan kerajaan ialah jika berlaku perubahan kepimpinan dalam UMNO dalam pemilihannya yang akan datang nanti.
Melantik Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri, selain kerana pengalaman dan hireakinya selaku Presiden UMNO dan Pengerusi BN, ia juga adalah untuk memastikan beliau terus kekal menerajui UMNO.
Selain itu, dengan Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan dilantik Menteri Pertahanan, Naib Presiden UMNO, Khaled Nordin sebagai Menteri Pendidikan Tinggi dan Setlausaha Agung BN, Dr Zambry Kadir sebagai Menteri Luar, semuanya ini adalah strategi untuk memastikan mereka terus kekal mendampingi Zahid Hamidi menguasai kepimpinan UMNO.
Oleh kerana pesaing yang ingin mengambil alih kepimpinan tidak mempunyai kedudukan dalam kerajaan, hampir pasti dalam pemilihan UMNO akan datang, mungkin pada bulan Mac atau April tahun depan, mereka tidak mampu menggugat kedudukan Zahid Hamidi dan teamnya yang ada jawatan dalam kerajaan sekarang ini.
Meski Zahid Hamidi masih ada kes mahkamah yang belum selesai, keputusan Anwar melantiknya sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah semata-mata berpegang kepada prinsip keadilan universal iaitu seseorang itu tidak dianggap bersalah selagi belum dihukum bersalah.
Hanya jika didapati bersalah selepas ini, barulah Zahid Hamidi dianggap sudah bersalah, seterusnya dari segi prinsip moral harus berundur daripada jawatannya dalam kerajaan.
Sementara semua itu belum berlaku, tiada masalah untuk beliau berada dalam kerajaan.
Terutama dengan kekalnya Zahid Hamidi dan Tok Mat memimpin UMNO lagi, maka kemungkinan kedudukan kerajaan akan tergugat boleh dikata hampir mustahil akan berlaku.
Selagi UMNO diterajui Zahid Hamidi dan Tok Mat di mana kedua-duanya berada dalam kerajaan, bukan saja kedua-duanya stabil untuk mengekalkan jawatan, malah memberi jaminan kedudukan kerajaan juga terus stabil.
Yang pasti, jika kerajaan ini tidak tergugat dalam tempoh lima tahun akan datang atau sehingga habis penggal pada 2027, pemimpin Pas yang baru kehilangan jawatan serta gaji lumayan, akan kita sama-sama saksikan tambah meroyan dengan pelbagai mainan sentimen kaum serta agama yang mungkin lebih ekstrem lagi tanda kekecewaan tertutupnua peluang untuk menjatuhkan Anwar. – ShahbudinHusin 02/12/2022.