PETALING JAYA: Singapura dan Indonesia mengucapkan tahniah kepada Anwar Ibrahim atas pelantikannya sebagai perdana menteri ke-10 Malaysia.
Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong berkata beliau tidak sabar menemui rakan sekerjanya dari Malaysia itu bagi membincangkan isu yang dihadapi bersama dua negara ini, selain mengukuhkan hubungan dua hala, lapor Bernama.
Katanya, pelantikan Anwar berlaku dalam pada pelbagai cabaran besar dihadapi di rantau ini malah di peringkat antarabangsa.
“Sebagai jiran dan rakan rapat, Singapura dan Malaysia harus bekerjasama untuk menguruskan cabaran ini dan meneroka peluang kerjasama baharu,” katanya.
Sepanjang pandemik Covid-19, Lee berkata kedua-dua negara telah menjadi rakan kongsi yang teguh menyokong antara satu sama lain.
“Kami juga telah menjadi rakan kongsi rapat di Asean, yang kekal menjadi pusat kepada kestabilan di Asia Tenggara di tengah-tengah ketegangan geopolitik yang semakin meningkat,” katanya.
Sementara itu, Presiden Indonesia Joko Widodo menghubungi pengerusi Pakatan Harapan itu selepas beliau mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.
Dalam hantaran di Facebook, Anwar berkata pemimpin yang lebih mesra digelar Jokowi itu menjadi pemimpin pertama yang menghubunginya.
“Saya tegaskan Indonesia merupakan sahabat sejati Malaysia dan saya mengharapkan hubungan dagang dan bisnis, investasi (pelaburan), budaya dan isu pekerja dapat dipertingkatkan. Persahabatan kedua-dua semestinya diperkukuh,” kata Anwar.
Dalai Lama dan beberapa duta besar ke Malaysia turut mengucapkan tahniah kepada Anwar.