JANGAN DOK GADUH LA...JADILAH PEMBANGKANG YANG BIJAK DAN BUKAN PEMFITNAH. TERANGKAN JUGA BUAT ANAK ANAK BUAH SUPAYA MENJAGA ADAP SOPAN.

 

Mungkin Takiyuddin ‘terlepas memo’ PN jadi pembangkang, kata Wan Saiful.





Wan Saiful Wan Jan berkata Takiyuddin Hassan tidak hadir pada taklimat untuk Ahli Parlimen Perikatan Nasional malam tadi.

PETALING JAYA: Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan berkata Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mungkin “terlepas memo” mengenai keputusan Perikatan Nasional (PN) tidak menyertai kerajaan perpaduan Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu memberitahu FMT malam tadi, semua ahli Parlimen PN menghadiri taklimat bersama pengerusi gabungan Muhyiddin Yassin, Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Presiden Gerakan Dominic Lau berhubung keputusan kekal sebagai pembangkang.

Wan Saiful berkata, bagaimanapun dia tidak melihat Takiyuddin pada taklimat itu.

“Mungkin dia terlepas memo itu. Kami diberi taklimat tentang keperluan semak dan imbang di Parlimen dan kerajaan, jadi kami sangat jelas mengenai pendirian kami,” katanya.

Terdahulu, Takiyuddin mengucapkan terima kasih kepada Anwar kerana menjemput PN menyertai kerajaan perpaduannya dengan berkata perkara itu akan dibincangkan dalam kalangan parti komponen gabungan itu.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu menambah, pandangan pengundi mengenai perkara itu juga akan dipertimbangkan kerana mereka menunjukkan sokongan padu kepada parti Islam dan PN pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Selepas itu, Muhyiddin mengumumkan bahawa PN tidak akan menyertai kerajaan perpaduan pimpinan Pakatan Harapan (PH), sambil menambah blok itu akan memberikan semak dan imbang kepada pentadbiran Anwar.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Faiz Na’aman, berkata beliau menghormati kenyataan Takiyuddin, tetapi menegaskan hala tuju pimpinan tertinggi gabungan itu mesti dihormati.

Seorang lagi pemimpin tertinggi Bersatu, yang enggan namanya disiarkan, berkata PN mungkin menyertai kerajaan perpaduan jika DAP memainkan peranan yang kurang menonjol dalam pentadbiran.

“PN hanya alah kepada DAP, bukan PH secara keseluruhan. Jadi jika Anwar boleh mengurangkan peranan DAP dalam kerajaan kepada pengaruh yang sangat kecil, PN mungkin menyertai kerajaan perpaduannya.

“Kemudian Anwar boleh mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen,” kata pemimpin itu.

Semalam, Anwar mengesahkan kerajaan perpaduannya terdiri daripada PH, Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS), dengan sokongan daripada Ahli Parlimen Muda, Warisan dan Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Beliau tidak menolak kemungkinan parti lain turut menyertai kerajaannya, sambil berkata beliau mengalu-alukan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan PN untuk menjadi sebahagian daripadanya.

Hari ini, Anwar mengumumkan bahawa GRS telah bersetuju untuk menyertai kerajaannya, sekali gus memberikannya majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

No comments: