Kedutaan asing ucap tahniah kepada Anwar


Anwar Ibrahim menerima ucapan tahniah daripada perwakilan asing sejurus mengangkat sumpah sebagai perdana menteri. (Gambar JPN)

KUALA LUMPUR: Perwakilan asing di negara ini menghantar ucapan tahniah kepada Anwar Ibrahim yang dilantik sebagai perdana menteri ke-10 pada hari ini.

Mesej tahniah pertama yang diterima sejurus selepas Anwar mengangkat sumpah pada 5 petang adalah daripada Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Brian D McFeeters.

“Tahniah kepada Anwar Ibrahim atas pemilihannya sebagai perdana menteri Malaysia ke-10. Kedutaan AS Kuala Lumpur berharap untuk terus mengukuhkan perkongsian strategik AS-Malaysia di bawah kepimpinan anda,” katanya pada mesej yang disiarkan di akaun Twitter rasmi kedutaan US Embassy KL, hari ini.

Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Justin Lee dalam akaun Twitter rasminya juga menghantar mesej ucapan tahniah kepada Anwar.

Lee juga menyiarkan gambar beliau bersama Anwar.

“Tahniah kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim atas pelantikan sebagai perdana menteri Malaysia ke-10!. Australia & Malaysia adalah kawan yang paling rapat.

“Suruhanjaya Tinggi Australia berharap dapat bekerjasama dengan pasukan anda di bawah perkongsian strategik komprehensif kami,” tulisnya di Twitter.

Duta Besar Jepun ke Malaysia, Takahashi Katsuhiko ketika mengucapkan tahniah kepada Anwar berkata beliau amat berharap kerajaan baharu akan memimpin Malaysia dalam perpaduan dan seterusnya mempromosi hubungan Jepun-Malaysia.

“Tahniah kepada Anwar Ibrahim @anwaribrahim yang telah mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Malaysia ke-10,” tweet beliau.

Anwar, 75, dipilih sebagai perdana menteri Malaysia ke-10 oleh Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah selepas lima hari kebuntuan politik berhubung Parlimen yang tergantung susulan keputusan pilihan raya umum ke-15 pada 19 Nov.

No comments: