Kerajaan Perpaduan mantapkan ekonomi Malaysia
Pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Kerajaan Perpaduan dialu alukan untuk merancakkan kembali ekonomi Malaysia
Menurut Penyelaras Gabungan Reformis Malaysia (GRM), Mustaffa Kamil Ayub, ekonomi negara yang telah terkebelakang berbanding rakan ASEAN sejak sedekad lalu perlu disusun semula oleh mantan Menteri Kewangan terbaik Asia itu.
“Perlantikan beliau selaku PM10 Malaysia amat bertepatan dengan waktunya bagi merancakkan ekonomi negara, mengawal kos sara hidup, memantapkan hala tuju negara, membangun Negara Madani sekaligus melonjakkan semula imej Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Justeru, kami mendukung penuh DSAI dalam mewujudkan Kerajaan Perpaduan yang stabil, inklusif dan berjiwa rakyat semurninya. Sokongan yang kuat seluruh lapisan rakyat Malaysia amat diharapkan dalam menjayakan hasrat murni ini
“Anwar adalah tokoh yang selayaknya menerajui negara di saat dilanda pelbagai kemelut politik, ekonomi, kesihatan dan seumpamanya. Dengan Agenda Reformasinya, Anwar mampu membawa Malaysia ke era baharu yang lebik baik,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang mewakili NGO NGO reformasi yang berjuang selama 24 tahun demi memastikan Anwar menduduki kerusi PM mengharapkan Pengerusi Pakatan Harapan itu akan disokong penuh rakyat dalam usaha membangunkan Negara Madani Malaysia dengan teras rukun kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan; sekali gus menjadi pemersatu dan melakar persefahaman baharu politik Malaysia.
Katanya, dengan 36 dasar keutamaan negara Madani antara lainnya; Mengurangkan gaji Menteri, melupuskan hutang PTPTN bagi keluarga B40, menghapuskan tol bagi B40, dan menghapuskan hutang peserta FELCRA, sesungguhnya mampu membela rakyat keseluruhannya.
“Latarbelakang pengalaman Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Pemangku Perdana Menteri, Menteri Kewangan yang baik, pemimpin gerakan Islam nasional dan antarabangsa, penggerak institusi pendidikan yang tegar serta daya juang dan daya tahan yang tinggi sehingga dipenjara beberapa kali dalam perjuangan membela rakyat, kebenaran dan keadilan.
“Sesungguhnya dengan izin Allah, usaha beliau yang berterusan dan kesabarannya telah memungkinkan peristiwa bersejarah ini,” katanya lagi.
Mantan Naib Presiden KEADILAN itu berharap Anwar dan barisan kabinetnya kelak akan melakukan yang terbaik buat rakyat Malaysia.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Pertubuhan Kebajikan Pahlawan Malaysia (PAHLAWAN), Pro 98 Reformis, Otai Reformis 1998, Pertubuhan Aktivis Rakyat Malaysia (ARM), Gerakan Reformasi Veteran ATM (GRVATM) dan beberapa yang lain.