Tiada lagi kelulusan tanpa tender terbuka - Anwar


 Ucapan pertama Perdana Menteri Kerajaan Perpaduan Datuk Seri Anwar Ibrahim di hadapan warga Jabatan Perdana Menteri pagi ini menyentuh mengenai perlunya tadbir urus dilakukan dengan mematuhi segenap peraturan dan undang undang.


Anwar menekankan bahawa tiada lagi perolehan atau tender diluluskan tanpa ketelusan sebagaimana yang berlaku sebelum ini.


"Jika (perkhidmatan awam) melihat ada kelonggaran dan kecuaian itu sejarah lampau, bukan maksud saya untuk mengorek kisah lama. Yang penting ialah ke depan.


"Jadi peraturan, perolehan, soal kelulusan tanpa tender ini semua tidak boleh. Tidak boleh lagi negara ini terus mengizinkan kebocoran, ketirisan dan rasuah. Ini perlu berlaku di semua peringkat," katanya.


Dalam ucaptama itu, Anwar juga mengulang arahan lebih dua dekad lalu bahawa tidak ada keluarga beliau yang dibenarkan diberi kelulusan projek kerajaan.


"Kawan kawan di Kementerian Kewangan tahu arahan pertama saya (sebagai Menteri Kewangan pada 1992) melarang sama sekali keluarga terdekat diberikan kepentingan dalam apa apa kelulusan projek kerajaan.


"Negara ini rosak bukan kerana perkhidmatan awam. MAS apa masalah? Semua baik tetapi yang lemah itu pengurusan di atas. Saya ambil kesempatan ini lebih banyak untuk mengajak saudara, merayu minta membawa islah ke arah kebaikan. Tidak mungkin saya berjaya sekiranya tunggak perkhidmatan awam tidak bersama saya.


"Kita harus sama sama bertekad membuat sesuatu. Tentu saudara tidak mengandaikan keadaan seperti biasa. Keadaan mesti berobah," katanya.


Selain itu, Anwar juga menyeru agar perkhidmatan awam menyokong beliau dalam agenda mengangkat kembali Malaysia menjadi negara disegani dari segi ekonomi dan pentadbiran sebagaimana era beliau menjadi Menteri Kewangan pada 1992 - 1998 lalu.


"Saya nak beri jaminan bahawa sistem tunggak perkhidmatan itu kekal, tetapi dengan maksud mengangkat martabat insan, martabat perkhidmatan.


"Negara ini perlukan perubahan. Satu tahap yang kita pernah capai dulu (Harimau Asia) malangnya merosot. Merosot itu baik ekonomi, kestabilan atau disiplin, dan tentunya Peguam Negara tahu tentang pelanggaran hukum, termasuk isu penyelewengan, rasuah yang ada kaitan peringkat penjawat awam.


"Saya ingin nyatakan hidup saya bergelora pasang surut, tetapi saya konsisten menggunakan kuasa untuk manfaat rakyat terbanyak, bukan memperkayakan dua tiga kerat kroni," katanya lagi.

No comments: