PUTRAJAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak berminat untuk “mengorek kisah lampau” yang berlaku dalam pentadbiran awam sebelum ini.
Dalam perjumpaan pertama bersama warga Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pagi ini, Anwar berkata apa yang lebih utama ketika ini adalah mengembalikan imej perkhidmatan awam yang kian merosot, ke tahap lebih tinggi.
“Keadaan mesti berubah, berubahnya itu dari pimpinan dan pimpinan termasuk perkhidmatan awam dan pimpinan di kementerian, jabatan yang harus menerima kenyataan supaya saya tidak tidak terlalu runsing hadapi masalah dalam kalangan penjawat awam.
“Saya harap saudara bekerja dan hormati disiplin, jika saudara lihat ada kelonggaran, kecuaian sebelumnya itu sejarah lampau, bukan maksud saya untuk mengorek kisah lama, tidak saya tidak berminat, hidup saya tahu apa erti derita dan sengsara, tetapi yang penting adalah ke depan,” katanya.