Negeri Melayu majmuk politik kaum tak laku
Pola pengundian dalam Pilihan Raya Umum ke 15 kelihatan agak bermasalah bagi masyarakat berbilang kaum di Malaysia pada masa hadapan.
Dapatan awal menunjukkan negeri negeri yang mana kaum Melayu hidup bercampur dengan masyarakat bukan Melayu perkauman bukanlah isu besar, dan Pakatan Harapan mendapat sokongan selesa.
Manakala di kawasan lingkaran Melayu seperti Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang mana kaum itu mendominasi maka pengundi begitu tebal semangat menolak PH.
Hal itu dijelaskan oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang mana beliau melihat semangat kemelayuan yang kurang menebal di Johor sebagai punca PH berjaya mempertahankan kerusi.
“Di negeri lain seperti Pantai Barat, misalnya Selangor Negeri Sembilan, Johor dan Melaka, negeri yang kerusi parlimen mereka bercampur, politik agak ekstrem perkauman dan agama tidak dapat mempengaruhi rakyat
“Misalnya di Johor KEADILAN menang 7 kerusi. Kita dapat pertahan semua kerusi, begitu juga DAP. Malah Amanah bertambah kerusi dia,” katanya kepada Suara Keadilan.
Namun kata Hassan, di negeri yang sebelum ini pengaruh Umno kuat dalam kalangan Melayu, akibat pergolakan dalaman parti itu orang Melayu telah mengalihkan undi kepada PN yang dilihat kali ini begitu Melayu, setanding Umno.
“Dalam pilihan raya ini jelas di Pantai Timur dan di Utara Semenanjung negeri disebut malay belt nampaknya gabungan Perikatan Nasional dan Pas dapat mengalahkan Umno, walau kita sedar ada kempen yang agak agreasif menggunakan isu kaum dan agama tetapi masyarakat Melayu Islam di sana dihadapkan dua pilihan, iaitu blok Umno BN nasionalis dan blok Melayu Islam PN.
“Maknanya mereka yang dari awal tidak bersama PH melihat BN Umno banyak masalah, terutama anak muda, maka mereka beri sokongan kepada PN yang tinggi di negeri berkenaan,” katanya lagi.
PN mendapat undi tertinggi dari kaum Melayu dalam PRU 15 sebanyak 54%, namun mereka hampir tidak mendapat undi dari kaum Cina dan India kerana polisi yang amat perkauman.