BELAJAR DAN IKTIBAR DARIPADA KEJAYAAN ANWAR

 

Tidak ada mana-mana Perdana Menteri yang sampai ke jawatan itu sebelum ini pernah melalui laluan sesukar seperti Anwar Ibrahim.

Dipecat pada 1998 ketika hanya setapak lagi untuk melangkah duduk di kerusi Perdana Menteri, kemudian berjuang melalui parti baru selama 24 tahun tanpa henti dengan pengalaman dipenjara, difitnah, diaibkan, dipukul setengah mati, dikhianati, dimungkiri janji dan diejek dengan gelaran PM tepi – apa yang dilalui Anwar bukan calang-calang orang mampu menghadapinya.

Seorang veteran UMNO, hampir 10 tahun dulu pernah berkata, jika dirinya melalui cabaran seperti Anwar itu, sudah lama beliau memilih jalan bersara.

Hari ini, dengan dikira lengkap semua pengalaman manis, pahit, sedih dan duka telah dilaluinya, Anwar akhirnya berjaya juga menduduki kerusi Perdana Menteri.

Apa yang kita boleh belajar daripada pencapaian Anwar sekarang ini?

Video Player
00:00
01:18

Sekurang-kurangnya ada tiga sifat yang dimiliki Anwar yang mendorong kepada kejayaannya menjadi Perdana Menteri.

Pertama, cekal dalam usaha dan terus berusaha tanpa henti dan tanpa kenal erti penat.

Kedua, sabar dan tidak mudah mengalah, meski banyak kegagalan menghambatnya di pertengahan jalan.

Ketiga, pemaaf dan tidak berdendam dengan sesiapa saja yang pernah melukakannya.

Sementara kecekalannya berusaha itu memang dikagumi kawan serta lawan, sebaliknya sifat sabar dan pemaaf beliau yang luar biasa dan tidak berdendam itu kadangkala merimaskan sahabat-sahabat yang dekat dengannya.

Usaha beliau berkempen dan menjelajah dari satu negeri ke satu negeri dengan enam hingga tujuh prpgram setiap hari dalam fasa kempen PRU15 baru-baru serta dalam usianya sudah mencecah 75 tahun sekarang ini, harus diakui bahawa bukan sebarangan orang ada tenaga dan upaya melakukannya.

Berusaha seolah-olah tiada rasa penat itu, kita yang melihatnya ke sana sini saja pun kadangkala sudah penat dibuatnya.

Ketika diserang dan dikhianati, terutama oleh rakan parti sendiri, kerapkali Anwar hanya memilih untuk bersabar daripada membalas balik pengkhianatan tersebut.

Kesabaran luar biasa yang dimilikinya itu sehingga diungkapkan sebagai “sabar tahap dewa”.

Dalam hal pemaaf pula, tidak sedikit di antara mereka yang dekat dengannya mengeluh dengan sifat Anwar itu lantaran mereka melihat banyak musuh boleh dengan mudah berbaik semula dengannya.

Ketika menerima baik musuh yang ingin datang berbaik dengannya, Anwar kadangkala lamgsung tidak memperlihatkan beliau pernah disakiti oleh mereka.

Sebenarnya, mereka yang bimbang dengan sidatnya yang terlalu pemaaf itu adalah semata-mata tidak mahu beliau ditikam buat kali kedua oleh orang yang sama, bukan kerana ada perasaan-perasaan yang lain seperti dengki dan sebagainya.

Dari segi kesetiaan dan mengekalkan hubungan dengan sahabat-sahabat lama, Anwar memang tidak pernah meminggirkan mereka, cuma sifatnya yang terlalu mudah berbaik dengan musuh itu kadangkala menimbulkan kebimbangan kepada laluan cita-citanya mungkin sentiasa terhalang.

Sekarang ini dengan Anwar akhirnya berjaya menduduki kerusi Perdana Menteri ke-10, sesuai dengan tarikh lahirnya pada 10 Ogos, selain dengan izin Tuhan, cekal berusaha, sabar dan pemaaf itulah yang diyakini merupakan antara yang memudahkan laluannya.

Berusaha dan terus berusaha memang merupakan tangga kejayaan, sementara jika disertai sama sifat sabar serta pemaaf, ia bererti pertolongan Tuhan sentiasa tidak jauh daripada cita-cita yang ingin dikejar itu. – ShahbudinHusin 28/11/2022.