PENGIKTIRAFAN DARI SULTAN BRUNEI : Sultan Brunei pandu kereta bawa Anwar ke Seri Perdana

 

Sultan Brunei pandu kereta bawa Anwar ke Seri Perdana



Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyambut keberangkatan tiba Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah di pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia, hari ini. (Gambar Bernama)

SUBANG: Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah berkenan memandu sendiri kereta dengan membawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke Seri Perdana, Putrajaya sempena lawatan khas baginda ke Malaysia, hari ini.

Sebelum kedua-dua pemimpin itu memulakan perjalanan pada 11.45 pagi, Anwar yang duduk bersebelahan Sultan Hassanal Bolkiah, sempat melambaikan tangan ke arah pengamal media.

Turut berkenan menaiki kereta jenis BMW tersebut adalah anakanda Sultan Brunei Pengiran Muda ‘Abdul Mateen Bolkiah.

Perjalanan kedua-dua pemimpin itu ke Putrajaya dari pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang, di sini yang jaraknya kira-kira 41 kilometer, diiringi pasukan keselamatan bermotosikal dan berkereta.

Terdahulu, Anwar menyambut keberangkatan tiba Sultan Hassanal Bolkiah serta delegasi Brunei yang selamat mendarat di pangkalan TUDM pada 11.40 pagi.

Sejurus tiba, baginda diberikan tabik hormat oleh perbarisan daripada Tentera Darat Malaysia yang diketuai Mejar Mohd Faudzi Che Hashim. Turut hadir menyambut keberangkatan tiba baginda ialah Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

Keberangkatan baginda ke Malaysia bagi mengadakan pertemuan sulung dengan Anwar yang mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-10 pada 24 Nov lalu.

Perdana menteri juga akan turut meraikan Sultan Hassanal Bolkiah serta Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan delegasi Brunei dalam satu majlis santapan tengah hari ini.

Menurut Wisma Putra dalam kenyataan, lawatan terakhir baginda ke Kuala Lumpur adalah pada 4 hingga 6 Mac 2019 untuk menghadiri Rundingan Pemimpin Tahunan ke-22 antara Malaysia dan Brunei.

Malaysia dan Brunei mempunyai hubungan istimewa yang telah lama terjalin melalui persamaan warisan, budaya dan hubungan sesama rakyat.

Bertitik tolak daripada hubungan istimewa ini, kedua-dua pemimpin akan mengambil peluang semasa lawatan itu untuk menilai kemajuan kerjasama sedia ada, di samping meneroka potensi baharu bagi meningkatkan hubungan dan kerjasama yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Pada 2021, Brunei ialah rakan dagangan ke-30 terbesar Malaysia dan keenam terbesar dalam Asean dengan jumlah perdagangan bernilai RM8.03 bilion (USD1.94 bilion).