Oleh: Shahbudin Embun
Setinggi tinggi tahniah diucapkan kepada YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim kerana telah dinobatkan sebagai Perdana Menteri Malaysia kesepuluh.
Jalan perjuangan yang penuh berliku akhirnya membuahkan hasil.
Tahniah juga kepada yang telah berjaya meredakan pergolakan politik tanahair setelah lebih empat tahun dalam keadaan bercelaru.
Mengimbas kembali selesai pilihanraya umum ke 15, prestasi terburuk BN dalam sejarah politik tanahair menyaksikan parti tersebut hanya memperolehi 30 kerusi parlimen sahaja. DUN Perak dan Pahang tumbang.
Tiada parti yang berjaya memperolehi majoriti mudah 112 di dewan rakyat untuk menubuhkan kerajaan persekutuan. ‘Hung Parliament’ ini berlarutan 5 hari tapi sebelum segalanya berakhir dengan harmoni. Kerajaan perpaduan berjaya ditubuhkan.
Inisiatif tertubuhnya kerajaan ini adalah dengan titah perkenan YD Agong kepada semua parti politik mengutamakan kepentingan negara dengan mencari titik persamaan antara satu sama lain.
Peranan besar Presiden UMNO dan Pengerusi BN tidak dapat dinafikan. Tanpa Zahid Hamidi, tak mungkin kerajaan perpaduan ini dapat direalisasikan.
Zahid berjaya membawa secara ‘en block’ kesemua 30 ahli parlimen BN menyokong Anwar Ibrahim sebagai PM 10.
Inisiatif Zahid ini kemudian dituruti oleh GPS dan GRS. Hasilnya kerajaan perpaduan ini mendapat sokongan 2/3 majoriti di parlimen dengan pengesahan undi percaya pada 19 Dis akan datang.
Tanpa Zahid Hamidi, hampir tidak mungkin Anwar Ibrahim diangkat sebagai Perdana Menteri ke 10 yang mengetuai kerajaan perpaduan.
Sebagai membalas peranan besar dan jasanya, adalah wajar beliau diberikan tempat yang sepatutnya dalam kerajaan yang bakal dibentuk.
==================================
# Nota – Shahbudin Embun adalah seorang penganalisis politik yang tidak asing lagi dan merupakan sahabat saya sejak puluhan tahun lagi.
Beliau kerap memberi pandangan mengenai perlembangn politik semasa sama ada melalui akhbar atau televisyen.
Selain kami mempunyai nama yang sama, kami berdua juga pernah digandingkan dalam program bual bicara di Bernama TV beberapa tahun sebelum ini di mana beliau pro UMNO, manakala saya pro PH.
Dengan terbentuknya kerajaan perpaduan ini, secara tidak langsung meletakkan kami berdua sekarang ini dalam landasan yang tidak lagi berbeza iaitu untuk sama-sama menpertahankan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim yang ditunjangi PH, BN, GPS, GRS, Warisan, Muda serta juga Bebas. – ShahbudinHusin 27/11/2022.