HASIL BUAH TANGAN MAHATHIR : PH enggan ulas pendedahan bekas AG, DAP kata Tommy Thomas bukan ahli


Pakatan Harapan (PH) enggan mengeluarkan sebarang ulasan berhubung pendedahan yang dibuat Pasukan Petugas Khas (STF) terhadap buku memoir Tan Sri Tommy Thomas.

Walaupun bekas Peguam Negara (AG) itu dilantik semasa kerajaan PH berkuasa sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata Thomas bukan ahli parti politik dan tidak ada keperluan untuk mereka mengulas berhubung hasil siasatan tersebut.

“Kami tidak perlu menjawab untuk Thomas. Dia adalah bekas AG (Peguam Negara) dan dia bukan pemimpin PH. Dia juga bukan ahli mana-mana parti politik,” katanya yang percaya Thomas akan dapat mempertahankan dirinya sendiri katanya dipetik laporan BH.

Terdahulu, STF mendedahkan hasil siasatan melibatkan buku kontroversi ditulis oleh Thomas tersebut.

Dalam pada itu, Loke berkata pihaknya tidak akan terperangkap dengan isu yang dimainkan berkaitan bekas AG itu yang diyakini bermotifkan politik.

“Kita tahu (Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri) menggunakan isu ini sebagai peluru.

“Kita tahu mereka mahu mempolitikkan ini dan memanfaatkannya untuk pilihan raya, jadi kami tidak akan jatuh ke dalam perangkap itu,” katanya.

Hasil siasatan STF kini didedahkan kepada awam apabila Kabinet menyahklasifikasikan hasil siasatan itu pada 13 Oktober lalu.

STF turut mengesyorkan Tommy disiasat mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan (membocorkan maklumat) dan Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1072.