ANWAR INGIN TUNJUKKAN USAHA MEMBINA SEMULA NEGARA BUKAN TERHAD KEPADA PEMEGANG JAWATAN PARTI SEMATA-MATA

 

Presiden PKR, Anwar Ibrahim mengumumkan tujuh individu berprofail tinggi daripada kalangan profesional, agamawan dan bekas pegawai kanan kerajaan sebagai calon atas kouta parti itu untuk mewakili PH pada PRU15 yang akan diadakan 19 November depan.

Pengumuman dibuat dalam sidang media khas di ibu pejabat PKR, petang tadi.

Mereka ialah:-

⁃ Bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Zainal Azman Abu Seman, yang akan bertanding di Perak.

⁃ Bekas Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA), Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan yang akan bertanding di Pahang.

⁃ Pensyarah Kanan Jabatan Parasitologi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM) yang juga tokoh profesional kelainan upaya, Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz yang akan bertanding di Wilayah Persekutuan.

⁃ Bekas Yang di-Pertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia yang juga anak bekas Mursyidul Am PAS, Nik Omar Nik Aziz, yang akan bertanding di Perak.

⁃ Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Saipolyazan Yusop yang akan bertanding di Selangor.

⁃ Bekas Presiden Majlis Belia Malaysia, Jufitri Joha yang akan bertanding di Negeri Sembilan.

⁃ Calon muda berusia 28 tahun yang juga seorang doktor falsafah di Universiti Malaya, Fathin Amelina Fazlie yang akan bertanding di Perlis.

Walaupun nama mereka telah diumumkan sebagai calon, kawasan mana yang ditandingi hanya akan dimaklumkan pada 28 Oktober nanti dalam satu majlis khas yang bakal diadakan di Taman Kosas, Ampang.

Dengan membawa tujuh individu tersebut secara sekaligus sebagai calon untuk mewakili PKR, ini bermakna PH telah membuka lembaran baru dengan memaparkan wajah yang lebih menarik kepada 32 juta rakyat di mana mesejnya ialah asas untuk seseorang itu dipilih sebagai calon tidak lagi terhad kepada orang parti semata-mata.

Mereka yang bertujuh ini akan melengkapkan kepelbagaian kelayakan untuk ditawarkan kepada pengundi, bukan saja untuk menjadi wakil rakyat, bahkan sebagai bakal pemegang jawatan dalam kerajaan, kiranya ditakdirkan PH memenangi PRU15, bagi sama-sama memulih dan membina semula negara ini.

Tidak sebagaimana banyak parti lain yang biasanya dan memang lumrah memilih pemegang jawatan utama dalam parti sebagai calon sehingga sanggup menangguhkan proses pemilihan kerana bimbang berlaku perpecahan, PKR sebaliknya memperlihatkan sikap keterbukaan, tidak jumud dan sedia untuk berkongsi.

Pemilihan tujuh individu berprofail tinggi ini adalah susulan daripada pendekatan PKR sebelum ini yang membuka penyertaan kepada seluruh rakyat Malaysia untuk menawarkan diri sebagai calon mewakili parti itu.

Difahamkan, hampir 2,000 orang telah menghantar nama beserta biodata dan kelayakan masing-masing sebagai tanda minat serta kesediaan mereka menawarkan diri berkhidmat sebagai wakil rakyat.

Dengan itu, adalah diyakini melalui pemilihan tujuh individu berprofail tinggi ini sebagai calon akan merangsang lebih ramai rakyat untuk keluar mengundi dan memilih PH pada hari pengundian 19 November akan datang, terutama daripada kalangan pengundi atas pagar dan tidak berparti.

Ini kerana melalui keterbukaan yang ditunjukkan PKR itu adalah petunjuk bahawa siapa saja rakyat yang berkelayakan serta berkemampuan tidak akan dipinggirkan, malah sentiasa dicari, untuk sama-sama menyumbang untuk negara.

Tidaklah seperti amalan sebelum ini, bertanding dan menjadi calon, baik atas nama parti apa sekali pun, lebih merupakan monopoli pemegang-pemegang jawatan utama dalam parti.

Tiada jawatan dalam parti, usah mimpilah nak merasa jadi calon.

Dengan itu, berebut-rebutlah ramai orang bertanding untuk memenangi jawatan dalam parti semata-mata untuk dipilih sebagai calon, meski kadangkala tiada apa-apa yang istimewa pun kelebihan yang ada, melainkan kerana ada banyak wang yang dimiliki.

Kalau ada pun peluang sesekali terbuka, biasanya hanya seorang dua saja daripada kalangan bukan pemegang jawatan parti yang ditonjolkan sebagai calon dan tidak pernah sehingga tujuh orang sekaligus sebagaimana dilakukan PKR ini.

Jika berjaya menjadi kerajaan, pasti peluang yang sama akan dibuka dengan lebih luas lagi dalam PRU yang seterusnya.

Makanya, pada 19 November nanti, inilah peluang untuk rakyat membuat pilihan yang betul siapa yang sepatutnya jadi kerajaan agar lebih ramai mereka yang bukan pemegang jawatan parti dapat sama-sama memberi sumbangan dan bekerja berganding bahu memulih serta membina semula negara ini. – ShahbudinHusin 26/10/2022.

No comments: