Farid Kamil temui Anwar selepas muatnaik dua video sokongan



Artis dan pengarah filem Farid Kamil pagi tadi bertemu Presiden KEADILAN Datuk seri Anwar Ibrahim selepas sebelum ini memuatnaik dua video yang menyokong Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.


Menurut Anwar, beliau menerima kunjungan Farid di pejabatnya pagi tadi dan berbicara seputar industri filem tanah air.


"Pagi tadi saya terima kunjungan seniman Farid Kamil di pejabat.


"Kami berbicara panjang soal seni dan budaya, selain mengenai keadaan saat ini dan masa depan industri perfileman negara.

Sempoi baq hang!" katanya dalam catatan di Facebook.


Semalam, Farid mengongsikan satu hantaran video pendek dengan tajuk "lima sebab Anwar Ibrahim layak jadi Perdana Menteri ke-10" di Instagram.


Video itu menyenaraikan apa yang dilihat sebagai pencapaian Pengerusi PH itu sebelum ini, antaranya anugerah Menteri Kewangan terbaik dunia dan Asia yang diraihnya pada 1990-an dan imejnya sebagai pemimpin yang dikenali di peringkat antarabangsa.


Farid juga pernah memuatnaik wawancara Anwar berkenaan tindakannya menghalang rasuah ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri 1992 - 1998.


Beliau menulis kapsyen pada hantaran itu berbunyi, "Bagai mimpi datang menyapa, 'biar buta satu mataku, asalkan terbuka mata hari rakyat'"


Sebelum ini Farid dilihat cenderung menyokong Pengerusi PH Tun Mahathir Mohamad ketika gabungan itu menang dalam PRU 14, kemudian beliau amat jarang berkomentar mengenai politik dalam beberapa tahun.


No comments: