Pilihan raya 2022: Inilah masanya!

 


Tugas kita ialah menolak mereka yang korup dan memilih calon yang berintegriti

 
BENEDICT LOPEJoin us on Telegram and Instagram for the latest.

Inilah masanya! Pilihan raya umum akan berlangsung dan jangkaan semakin tinggi setiap hari.

Tidak lama selepas Parlimen dibubarkan, Aliran melahirkan rasa kecewa kerana Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob telah akur kepada tekanan daripada pihak tertentu untuk mengadakan pilihan raya umum awal walaupun musim tengkujuh akan datang.

Umum mengetahui bahawa kelompok mahkamah daripada Umno mahukan pengundian awal sebagai jalan keluar daripada masalah undang-undang mereka – tanpa mengira akibatnya kepada rakyat dan negara.

Pemimpin Umno – parti yang hanya mempunyai 37 atau 17% daripada 222 ahli parlimen – malah tidak mengendahkan hasrat 12 menteri kabinet Perikatan Nasional dalam kerajaan campuran Barisan Nasional-PN yang tidak mahu pilihan raya umum diadakan tahun ini. Menteri-menteri PN, seperti ramai yang lain, termasuk ahli parlimen pembangkang, berpendapat bahawa tumpuan haruslah diberikan kepada kebajikan rakyat.

Buat pertama kali dalam sejarah Malaysia, berlaku ‘pemberontakan’ sebegini dalam barisan kabinet tentang bila perlunya mengadakan pilihan raya umum.

Desakan pemimpin Umno menunjukkan bahawa usaha mereka untuk mendapatkan membolot kuasa mengatasi kesejahteraan dan keperluan rakyat.

Pihak kerajaan, yang kemudiannya memilih untuk mengabaikan kesengsaraan rakyat dan tidak memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan penderitaan rakyat, menunjukkan betapa mereka begitu pentingkan diri sendiri, tidak bertimbang rasa, dan cara hidup yang terpisah daripada rakyat jelata.

Ramai rakyat marhaen telah bergelut untuk pulih daripada kuncitara dan sekatan sejak dua tahun lalu, manakala kos sara hidup yang melambung tinggi telah memburukkan lagi kesengsaraan mereka.

Pembubaran Parlimen sejurus selepas pembentangan Belanjawan 2023 menimbulkan persoalan sama ada janji-janji di dalam Belanjawan yang masih belum dibincangkan secara menyeluruh di Parlimen itu hanya akan digunakan untuk memancing pengundi.

Belanjawan dan tawaran di dalam Belanjawan hanyalah muslihat bagi mengekalkan politikus sedia ada. Kita memerlukan kaedah baharu yang dinamik dan mampan untuk membawa negara ke hadapan.e

Keseluruhan drama ini menunjukkan kepada kita mengapa sangat penting untuk mempunyai parlimen dan dewan undangan negeri bagi tempoh tetap agar rakyat tidak akan dibuli seperti ini lagi.

Ketidakstabilan sejak pengambilalihan pintu belakang kerajaan melalui ‘Langkah Sheraton’ ini adalah disebabkan oleh sekumpulan ahli politik yang hanya mementingkan diri mereka sendiri.

Dalam pilihan raya umum akan datang, rakyat mesti memulihkan kestabilan dengan menolak keluar mereka yang perasuah dan tidak berintegriti.

Pengundi sekarang pastinya akan mendapati bagaimana ahli politik datang untuk menemui mereka bagi memujuk untuk mendapatkan undi mereka.

Namun, janganlah kita mudah percaya kepada janji manis mereka. Nilailah calon-calon dengan teliti – kerana selepas itu, ada di antara mereka yang akan menguruskan negara bagi pihak kita.

Pengundi mempunyai tugas penting dalam pilihan raya umum akan datang. Kita mesti mengundi calon-calon berintegriti serta parti politik yang akan menjadikan negara lebih terangkum dan mampan.

Bagi menilai calon yang bertanding di kawasan anda, sila kaji latar belakang mereka dengan menyemak laman http://www.mp-profiling.info/

Selidik manifesto atau janji pelbagai parti politik. Undi parti yang akan menyokong lima perkara dalam Agenda Rakyat, yang telah disokong oleh 57 NGO:

  • Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  • Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  • Raikan kerencaman dan keterangkuman
  • Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  • Lawan rasuah dan kronisme

Di samping itu, sebuah lagi inisiatif, Manifesto Rakyat, juga menghasilkan 10 tuntutan yang ditujukan kepada semua calon pilihan raya:

  1. Kembalikan semula pilihan raya majlis tempatan
  2. Asingkan fungsi pendakwa raya dengan fungsi peguam negara
  3. Berikan kuasa kepada jawatankuasa pilihan parlimen untuk meneliti pelantikan ketua Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya
  4. Tubuhkan suruhanjaya aduan dan salah laku polis yang bebas
  5. Gubalkan undang-undang hak untuk maklumat dan mansuhkan undang-undang yang menyekat kebebasan bersuara
  6. Pastikan pendidikan berkualiti, berikan tumpuan kepada peningkatan profesionalisme guru, tingkatkan akauntabiliti dan galakkan pendidikan inklusif
  7. Utamakan kesihatan dengan menaikkan bajet kementerian kesihatan supaya melebihi 4% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dalam tempoh lima tahun [Pada masa ini hanya sekitar 2%]
  8. Sokongilah Akta Rangkuman Sosial dan berubah secara progresif kepada langkah berasaskan keperluan
  9. Luaskan kawasan pertanian untuk penanaman makanan; berikan petani kecil pajakan sekurang-kurangnya 20 tahun
  10. Isytiharkan darurat iklim negara dan lindungilah semua hutan selaras dengan komitmen Malaysia terhadap Deklarasi Rio 1992

Ini adalah perkara utama yang dikemukakan oleh masyarakat sivil yang perlu ditangani oleh parti politik dan calon – bukannya menggunakan isu perkauman atau agama yang memecah belah.

Gunakan perkara utama ini sebagai panduan semasa memilih siapa yang hendak diundi. Undilah parti politik yang akan menyokong lima perkara dalam Agenda Rakyat dan calon yang bersetuju dengan 10 tuntutan Manifesto Rakyat.

Pilihan raya kali ini akan menyaksikan berjuta-juta pemilih baharu dimasukkan ke dalam daftar pemilih terkini, dengan pelaksanaan pendaftaran pemilih automatik dan pengurangan umur minimum mengundi daripada 21 kepada 18. Ramai daripada pengundi kali pertama ini terdiri daripada golongan belia, dan juga orang dewasa yang tidak pernah mendaftar sebagai pengundi sebelum ini.

Ramai pengundi baru berkemungkinan bersikap apatis, serta keliru dengan keadaan politik semasa, yang masih berada di atas pagar atau mereka yang gagal melihat pentingnya untuk mengundi. Ini adalah akibat beban masalah yang dihasilkan oleh beberapa politikus. Malah ramai yang sebelum ini mengundi juga berkemungkinan keliru dengan situasi politik semasa, memandangkan banyak gabungan dan parti yang sedang bergelut.

Jadi kita semua mempunyai tugas yang sukar dalam meningkatkan kesedaran. Barangkali, ini boleh dilakukan melalui lebih banyak ceramah dan perbualan yang ditujukan kepada mereka yang masih dalam kegelapan tentang situasi sebenar.

Ini merupakan pilihan raya yang penting, melibatkan pertaruhan yang tinggi bagi semua yang terlibat, yang akan menentukan hala tuju negara untuk satu atau dua dekad akan datang. Kita berada di persimpangan: ke arah manakah Malaysia nanti– ke arah negara yang didominasi oleh segelintir kaum dan agama serta penuh dengan rasuah – atau ke arah negara yang lebih terangkum, berbilang budaya dan progresif?          

Jika kita mengambil jalan yang sebelumnya, ia akan menjadi halangan utama dalam usaha kita untuk membahaskan isu-isu serius yang terjadi sekarang: soal ketidaksamaan pendapatan dan kekayaan, semua jenis diskriminasi; perubahan iklim dan pembangunan mampan.

Namun, kita jangan sekali-kali memandang rendah keupayaan kita untuk mewujudkan sebuah negara yang terangkum dalam menghargai kepelbagaiannya – masyarakat yang dibina di atas nilai-nilai seperti keadilan, belas kasihan, integriti, perpaduan dan kebebasan.

Tugas kita ialah menolak keluar mereka yang korup dan memilih calon yang berintegriti, mereka yang mementingkan kesejahteraan rakyat, mereka yang ingin membina negara yang lebih terangkum.

Jadi, besar harapan agar semua orang, termasuk pengundi kali pertama, dapat menyemak butiran pengundi anda dalam talian dan keluar dalam bilangan yang ramai bagi membuang undi anda. Pengundi luar negara, sila daftar mengundi untuk undi pos.

Marilah kita menolak mereka yang korup dan mereka yang menggunakan kaum dan agama untuk kepentingan politik. Marilah kita bekerja keras bagi melahirkan negara yang mempunyai belas kasihan, cekap dan terangkum.

Kita semua bersama dalam hal ini dan bersama-sama, kita boleh membuat perubahan!

Anil Netto
Surat berita Aliran
14 Oktober 2022

Terjemahan oleh: Zikri Rahman


No comments: