Lepas Najib masuk penjara, PN mahu ambil alih peranan 'kaki pusing' politik?





 Kenyataan berputar belit Pengerusi Perikatan Nasional (PN) sejak beberapa hari lalu menimbulkan persoalan dalam kalangan pemerhati politik apakah selepas bekas Perdana Menteri Najib Razak yang terkenal 'berbelit' di media sosial masuk penjara tempatnya mahu diambilalih oleh pemimpin PN.


Menurut Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN Chua Wei Kiat, tidak sampai seminggu Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempelawa Pakatan Harapan (PH) untuk bekerjasama menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15, kelmarin beliau bertukar sikap pula dan berkata sedia menolak kerjasama.


"Adakah Muhyiddin ingin ambil alih kerja Najib sebagai kaki pusing di arena politik tanah air?


"Najib dikenali kaki pusing di media sosial kerana kebolehan beliau memutarbelitkan segala fakta untuk menutup kekurangan atau kesilapannya, malahan para penyokong beliau akan menyokong secara membabi buta tanpa berfikir sama ada kenyataan tersebut betul atau tidak.


"Kerjasama yang ditawarkan oleh PN telah ditolak mentah-mentah oleh PH, melalui Timbalan Presiden KEADILAN Rafizi Ramli yang berkata Majlis Presiden PH memutuskan tidak akan bekerjasama dengan PN serta menyatakan gabungan itu perlu fokus kepada persiapan rapi menghadapi PRU-15.


"Sebaliknya, sikap Muhyiddin yang masih belum 'move on' berikutan ingin meneruskan kerjasama dengan PH menunjukkan keterdesakan dan ketidakyakinan PN dalam menghadapi pilihan raya akan datang," kata Wei Kiat dalam satu kenyataan.


ADUN Rawang itu juga mengingatkan Muhyiddin rakyat semakin bijak dalam politik dan tidak akan menerima alasan beliau bahawa kerjasama dengan PH adalah untuk memerangi kleptokrasi, rasuah dan salah guna kuasa.


Katanya, rakyat lebih maklum terdesaknya PN terutama apabila kemungkinan Bersatu mengalami kekalahan teruk berdasarkan prestasi Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor serta kebangkitan kesedaran politik rakyat selepas akta anti lompat parti diluluskan Parlimen.


"Rakyat sangat faham kenapa idea PN mahu bekerjasama dengan PH akan timbul.


"Hal ini kerana Muhyiddin bimbang dengan perkembangan politik yang tidak menguntung PN. Mereka mengetahui risiko kalah besar termasuk kerusi Pagoh yang dipegang oleh Muhyiddin. Ini disebabkan sentimen rakyat menolak gabungan 'katak' ini semakin kuat," katanya lagi.




No comments: