TOK MAT TAK USAH TAMAK, KJ LEBIH MERUPAKAN ASET UMNO BERBANDING DIRINYA

 

Berikutan diminta oleh Timbalan Presiden UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Rembau, Mohamad Hasan untuk memberi laluan kepadanya bertanding di Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin atau KJ mengumumkan beliau mungkin tidak bertanding dalam PRU15 akan datang nanti.

“Oleh kerana beliau (Mohamad atau Tok Mat) adalah Ketua UMNO Bahagian Rembau dan saya timbalannya, jadi beliau telah minta saya cari tempat lain sebab dia kata dia nak bertanding di Rembau. 

“Saya tidak ada halangan,” kata KJ menjawab pendiriannya berhubung permintaan Tok Mat itu.

Meskipun diminta oleh Tok Mat untuk mencari kawasan lain, tetapi menurut Menteri Kesihatan itu, beliau tidak terfikir untuk berbuat demikian kerana telah berpolitik di Rembau sejak lebih 20 tahun lalu dan menjadi Ahli Parlimen pula selama 15 tahun.

“Senario terburuk ialah saya tidak bertanding,” tambah menantu Tun Abdullah Badawi itu lagi.

Semalam Tok Mat mengumumkan beliau akan bertanding di kerusi Parlimen Rembau dalam PRU15 akan datang, selain turut kekal mempertahankan kerusi DUN Rembau yang dipegangnya sejak 2004 lalu.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu dilaporkan berkata, sebagai Timbalan Presiden UMNO, beliau perlu bertanding di kerusi Parlimen dalam PRU akan datang ini agar dapat memainkan peranan dalam politik di peringkat kebangsaan.

Dalam erti kata lain, Tok Mat mahu bertanding dua kerusi serentak dalam PRU15 akan datang.

Soalnya, kenapa tamak sangat sampai hendak bertanding dua kerusi sekaligus?

Tak bolehlah pilih satu saja – Parlimen Rembau atau DUN Rantau?

Apa yang nyata, dengan luahan keinginan Tok Mat mahu bertanding dua kerusi itu, malah sudah meminta KJ memberi laluan kepadanya, akhirnya fahamlah kita kenapa beliau selama ini begitu bersungguh-sungguh mahu pemilihan UMNO dilewatkan dan PRU15 mesti diadakan terlebih dahulu.

Sebagai orang yang menyebabkan BN Negeri Sembilan kalah pada PRU14 lalu ketika memegang jawatan Menteri Besar, jika pemilihan UMNO doadakan terlebih dahulu, ditambah dengan kedudukannya tanpa jawatan dalam kerajaan ketika ini, tidak mustahil beliau tidak mampu mempertahankan jawatan Timbalan Presiden dan Ketua UMNO Bahagian Rembau yang dipegangnya sekarang.

Kalau hilang kedua-dua jawatan itu, maka melepaslah peluang untuk bertanding dalam PRU nanti.

Rupa-rupanya dengan beria-ia mahu PRU15 diadakan terlebih dahulu, Tok Mat bukan sekadar mahu mengekalkan kerusi DUN Rantaunya, malah juga “merampas” kerusi Parlimen Rembau daripada timbalannya sendiri.

Ini dengan sendirinya menunjukkan Tok Mat mempunyai keghairahan yang tak terkawal ingin membolot jawatan dalam kerajaan selepas PRU akan datang – di pusat dipasangnya pukat, di negeri pun nak diletakkan lukah.

Kepada Tok Mat, pepatah ada mengingatkan – orang tamak selalu rugi – jangan nanti jawatan di pusat terlepas kerana BN tidak menang PRU akan datang, jawatan di negeri pun gagal diperolehi lantaran kerajaan negeri sedia ada mampu mengekalkan kuasanya lagi.

Apa yang Tok Mat harus sedar ialah selain beliau boleh dikategori sebagai pemimpin yang gagal kerana BN Negeri Sembilan tidak mampu dipertahankannya pada PRU14 lalu, beliau juga bukanlah pemimpin masa depan kerana faktor usianya serta tidak memiliki sebarang “wow factor” yang memukau.

Dengan itu, meskipun bertanding di kerusi Parlimen dan jika ditakdirkan BN menang sekali pun, haruslah disedarinya bahawa “poster boy” dan calon Perdana Menteri ialah kekal milik Perdana Menteri sedia ada iaitu Ismail Sabri Yaakob.

Bermakna, sementara Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi terkekang kerana 87 kes mahkamah sedang menunggunya, adalah mustahil untuk Tok Mat mengharapkan dirinya dinamakan sebagai calon Perdana Menteri.

Untuk menaruh harapan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pula, ia bergantung kepada pertimbangan Ismail Sabri menentukannya.

Adakah Perdana Menteri sedia melantik beliau sebagai timbalannya?

Dalam hal berkaitan, berbanding Tok Mat, KJ lebih merupakan gambaran aset parti masa depan, disukai oleh generasi muda serta terbukti sebagai antara menteri yang berwibawa, tak kira apa juga portfolio diserahkan kepadanya.

Jila KJ akhirnya memilih untuk tidak bertanding disebabkan ketamakan yang tak terbatas oleh Tok Mat ingin membolot semua, risiko yang tak terduga yang mungkin menimpa UMNO ialah kalah lebih teruk berbanding PRU sebelum ini.

Tok Mat jika dibandingkan dengan KJ, beliau sebenarnya tiada apa-apa yang istimewa dimilikinya, kecuali loghat nogorinya saja yang lebih pekat berbanding KJ. – ShahbudinHusin 04/09/2022.



No comments: