PENGAMPUNAN BIASANYA SETELAH JALANI DUA PERTIGA HUKUMAN – BEKAS AG


 Datuk Seri Najib Razak boleh membuat petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong dengan segera bagi mendapatkan pengampunan, menunda atau mengurangkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan terhadapnya.

Bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman, berkata Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan mengurangkan hukuman bagi segala kesalahan dibicara dan dilakukan dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Katanya, Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan bagi setiap negeri perlu membabitkan Peguam Negara, Ketua Menteri negeri (dalam kes Najib adalah Menteri Wilayah Persekutuan) dan tidak lebih daripada tiga anggota lain yang perlu dilantik Yang di-Pertuan Agong.

“Bagaimanapun, mengikut Perkara 42 (9), Lembaga Pengampunan perlu menimbangkan sebarang pendapat bertulis yang dikemukakan Peguam Negara mengenai perkara itu.

“Sekiranya Najib memohon pengampunan diraja, maka ia akan diproses mengikut peraturan dan dibentangkan Lembaga Pengampunan. Jadi, masih terdapat saluran untuk Najib mendapat keampunan atau dikurangkan hukuman,” katanya ketika dihubungi BH.

Beliau berkata, seseorang yang sudah disabitkan dengan hukuman, biasanya akan menjalani dua pertiga daripada hukuman dijatuhkan terhadapnya, manakala baki satu pertiga akan mendapat pengurangan secara automatik jika berkelakuan baik.

Abu Talib adalah Timbalan Pendakwa Raya ketika bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris disabitkan atas kesalahan rasuah pada 1977 dan kemudian menjadi Peguam Negara ketika bekas Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Mokhtar Hashim, disabitkan membunuh Datuk Mohamad Taha Talib iaitu Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, pada 1983.

Harun mendapat pengampunan diraja pada 1982, manakala Mokhtar dibebaskan daripada hukuman itu pada 1991.

Sementara itu, pengamal undang-undang, Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir, berkata mengikut Peraturan 113 Peraturan-peraturan Penjara 2000, petisyen pengampunan itu boleh dilakukan Najib, ahli keluarga atau peguam dilantik bekas Perdana Menteri itu.

“Petisyen pengampunan itu perlu dikemukakan kepada Urus Setia Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan iaitu Seksyen Dasar, Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, di Putrajaya.

“Petisyen pertama, boleh dibuat segera yang dapat dilaksanakan oleh Najib selepas sabitannya, namun petisyen kali kedua hanya dibenarkan apabila seseorang banduan sudah menyempurnakan tiga tahun dari tarikh sabitan. 

“Bagaimanapun, berdasarkan kes sebelum ini, khususnya membabitkan Harun, Mokhtar dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, mereka sudah menjalani sebahagian daripada hukuman sebelum suatu pengampunan diberikan,” katanya. 

Pada 16 Mei 2018, Anwar diberikan pengampunan penuh tanpa sebarang syarat oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, ketika itu.


No comments: