Perjalanan jauh untuk mendapatkan keadilan
Mengikut laporan audit forensik Projek LCS, Boustead Naval
Shipyard (BNS) dijangka mengalami kerugian sebanyak RM 890 juta. Ini disebabkan
bayaran palsu, kontrak bertindih, tuntutan berganda, variasi kontrak dan
pembelian barangan yang sepatutnya sudah diterima.
Oleh kerana BNS dimiliki oleh Boustead Holdings yang sebahagian
besar sahamnya dimiliki oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), anggota
tentera dan pesara tenteralah di antara mangsa utama kebobrokan yang berlaku di
BNS ini.
Tentunya orang akan bertanya secepat manakah orang-orang yang
bertanggungjawab ke atas kerugian ini akan didakwa di mahkamah? Walaupun sudah
ada seorang bekas pekerja didakwa di atas kesalahan berjumlah RM 21 juta,
tentunya ramai orang beranggapan bahawa kerugian yang mendekati bilionan
ringgit ini akan melibatkan lebih banyak jerung-jerung besar.
Walaupun sudah ada laporan audit forensik, ianya tidak cukup
sebagai asas pendakwaan. Ada beberapa langkah lagi yang perlu diambil sebelum
penjenayah yang terlibat dibawa ke pengadilan.
1. Dapatan laporan ini perlu disiasat terlebih dahulu oleh badan
penguatkuasa yang berkenaan bagi mengumpul bukti dan saksi. Ini tentunya
memerlukan penyiasat-penyiasat yang benar-benar pandai menyiasat dan mengambil
tanggungjawab untuk melaksanakan kerja mereka dengan penuh amanah. Keadilan
kena dipentingkan berbanding dengan keselamatan kerusi yang mereka duduki.
Jika kita ingat, sebelum tahun 2018 kes-kes 1MDB dan SRC
dianggap suci. Malah, orang-orang yang menyiasat pula yang ditekan dan
ditukarkan ke bahagian kerajaan yang menyebabkan penyiasatan tergendala. Hanya
selepas pertukaran kerajaan, siasatan dihidupkan kembali dan seorang penjenayah
di dalam kes SRC sudah dipenjarakan manakala kes 1MDB yang tersohor di serata
dunia masih berjalan.
2. Pihak Peguam Negara sebagai Pendakwaraya kena berpuas hati
bahawa bukti dan saksi yang mencukupi sudah ada bagi mendakwa di bawah
peruntukan undang-undang yang ada. Bukti bagi kes jenayah ialah “melangkaui
keraguan yang munasabah”.
Kes juga kena dirangka (frame) dengan bijak berdasarkan
bukti-bukti dan saksi-saksi yang ada oleh pendakwaraya yang pintar dan komited,
bukannya dari pertuduhan dah nak nampak macam nak kalah. Mungkin inilah
sebabnya bagi kes 1MDB dan SRC, pendakwa dari luar (V Sithambaram dan Gopal Sri
Raj) digunakan sebagai pendakwaraya utama, bukannya dari Jabatan Peguam Negara.
Ni macam misteri jugak ya.
Satu lagi halangan ialah corak di kebelakangan ini yang mana
Peguam Negara mengkompaun kes-kes jenayah termasuk di bawah pengubahan wang
haram dan jenayah sekuriti. Orang yang membayar kompaun, walaupun berjuta
ringgit, tidak dikira sebagai penjenayah dan masih layak menduduki jawatan awam
termasuk menjadi menteri.
3. Hakim-hakim yang mengendalikan kes mestilah benar-benar
berkemampuan, bebas dan adil. Kita tentunya sudah dapat melihat bagaimana
proses mahkamah digunakan untuk melambat-lambatkan perjalanan kes.
Melambatkan kes bukannya tak ada kesan ke atas keadilan. Saksi
boleh meninggal dunia macam kes di Pulau Pinang. Kita pun tahu ingatan akan
menjadi lemah jika masa sudah lama berlalu. Ada satu kes yang melibatkan
jenayah sekuriti semasa krisis kewangan Asia di akhir tahun 90an yang masih
berjalan sehingga hari ini.
4. Peranan saksi-saksi di dalam perbicaraan juga penting.
Semalam ada seorang saksi yang menafikan dia tahu apa yang dia pernah nyatakan
di dalam kenyataan bersumpahnya sebelum ini. Ini tentunya akan memberi kesan
kepada pihak pendakwaraya.
Di dalam kes rasuah yang dianggap “menang-menang” kerana yang
menyuap dan disuap dapat apa yang mereka mahukan, salah seorang dari mereka
perlu menjadi saksi kerajaan. Jika tidak, siapa yang nak buktikan rasuah
berlaku? Ni pun boleh jadi kompleks juga.
Dari penjelasan di atas, keadilan bukanlah satu perkara yang
datang begitu sahaja. Ramai manusia yang diberikan kedudukan di dalam rantaian
keadilan (justice value chain) ini perlu melaksanakan tanggungjawab dan amanah
yang mereka tanggung dengan penuh jujur. Sistem yang digunapakai mestilah
berkesan. Laungan dan seruan tidak akan menjadikan sistem berubah dengan
sendirinya.
Allah SWT telah mengharamkan kezaliman dan kita sebagai umat
Islam kena berusaha supaya sistem keadilan kita benar-benar berfungsi. Jangan
pula kita membiarkan kezaliman kerana penjanayah yang terlibat kita anggap
mulia. Bagaimana pula dengan mangsa jenayah seperti kes SRC dan juga BNS ini?
Mereka tak penting hanya disebabkan kita tak kenal muka-muka mereka?
Jadi, kita bukan sahaja perlu mengekalkan sistem keadilan yang
berkesan tetapi kena menambah baik setiap aspek agar orang-orang yang melakukan
kesalahan dan jenayah dihukum dengan adil, tak kira siapa mereka dan kedudukan
mereka di dalam masyarakat.
Sudah tentu kita akan disoal oleh Allah SWT di akhirat berkenaan
peranan kita di dalam menjadikan bumi Allah ini bumi yang adil dan tidak ada
manusia yang dizalimi. Satu undi yang diberikan di dalam pilihanraya bukanlah
perkara yang kecil di dalam membentuk sistem keadilan di dalam negara kita ini.
Jangan main-main dengan undi anda.