KISAH IKTIBAR BUAT YANG BAHLOL



 Seorang lelaki diamanahkan untuk menjaga 3 orang kanak-kanak yang berusia 10 tahun. Setiap bulan lelaki itu diberi peruntukan sebanyak RM10k untuk perbelanjaan 3 kanak-kanak tersebut seperti makan minum, pakai dan persekolahan mereka.


Lelaki itu tidak culas dalam memberikan keperluan kanak-kanak di bawah jagaannya. Makan, pakai semua terjaga. Tetapi dalam diam, dia ambil RM5k dari peruntukan itu untuk kegunaan sendiri tanpa diketahui oleh kanak-kanak tersebut.


Apabila kanak-kanak itu mahukan sesuatu selain makan dan pakaian, beg sekolah baharu misalnya, lelaki itu akan suruh kanak-kanak itu bekerja seperti ambil upah basuh kereta atau jual kuih. Daripada duit yang dikumpul itu nanti barulah dia belikan apa yang kanak-kanak itu minta.


Dalam masa yang sama, sejumlah RM5k daripada peruntukan kanak-kanak tersebut terus masuk ke dalam poket lelaki itu dan dibelanjakan. Sekarang, soalannya adalah, adakah kanak-kanak itu tidak berhak untuk berasa marah kerana sebahagian dari peruntukan mereka diambil oleh lelaki itu?


Bergantung, sebenarnya. Bergantung di mana kisah ini berlaku. Kalau berlaku di Malaysia, maka mereka tak berhak marah kerana lelaki itu, walaupun telah mencuri duit mereka, tetap dikira berjasa kerana telah jaga makan pakai mereka. Betul ke?


Kisah ini hanyalah kiasan. Kisah ini hampir sama dengan apa yang berlaku dalam kes Najib. Kerana ada sesetengah orang berkata, sungguh pun Najib mencuri, tapi dia berjasa kepada rakyat. Sedangkan itu bukan jasa sangat pun. Najib hanya jalankan tugasnya. Bahkan seperti lelaki dalam contoh ini, tugas yang dijalankan tidak sempurna.


Lelaki itu suruh 3 kanak-kanak itu cari duit untuk dapatkan sesuatu. Sedangkan kalau lelaki itu tidak songlap separuh dari peruntukan yang diberikan, kanak-kanak itu boleh dapat apa yang mereka mahu tanpa perlu lakukan kerja apa-apa.


Begitu juga Najib. Memang dia ada beri wang tunai kepada rakyat. Tapi dia dapatkan duit itu dengan mengenakan cukai yang tidak munasabah kepada rakyat. Harga petrol dan barangan asas yang lain naik. Walaupun diberikan wang tunai, hidup rakyat tetap terhimpit kesan cukai yang dikenakan.


Sedangkan, kalaulah Najib tak sakau duit negara, dia jalankan tugasnya dengan penuh amanah, duit yang dia curi boleh disalurkan untuk kepentingan rakyat seperti subsidi dan juga pelaburan lain yang boleh mengukuhkan serta menstabilkan ekonomi.


Jadi apa yang berjasanya Najib kepada rakyat? Tak ada pun. Najib sebaliknya berhutang kepada kita. Nampak macam dia bantu tapi sebenarnya dia tak jalankan tugas sepenuhnya. Sebab apa yang rakyat boleh atau patut dapat, jauh lebih banyak daripada apa yang dia beri dan buat.


Kebajikan kita dicuri oleh Najib. Amat malang ada sesetengah manusia yang tak sedar diri mereka dirompak di siang hari. Bahkan dipujinya pula sang perompak. Unik sungguh rakyat Malaysia.


Difikirkan semula, memang Najib suka kalau rakyat kekal miskin. Kerana mahu wujudkan dependency syndrome. Rakyat susah, dia hulur duit kemudian rakyat akan rasa terhutang budi kepadanya. Dan nampaknya strategi itu berjaya. Hinggakan ada yang masih menyokong Najib walaupun jelas dia dibuktikan mencuri dana rakyat.


Kalau nak anggap Najib berjasa pun, terpulanglah. Nak kenang sampai bina tugu Najib di hadapan rumah pun, lantaklah. Tapi satu je. Jangan sampai halalkan perbuatan jahat yang dia telah lakukan. Salah tetap salah tak kira siapa pun yang lakukan. Berfikirlah dengan akal waras yang dipandu oleh iman. Guane boh?


 

Raja Gelap



No comments: