ZAMRI ZAINAL ABIDIN
Catatan Jumaat
Malam tadi dijemput untuk ke majlis tahlil ringkas di rumah
Dato' Seri Anwar Ibrahim
. Semasa hidangan makan malam kebetulan saya makan semeja dengan beliau dan Kak
Wan. Beliau banyak bercerita tentang Wacana Syeikh Daud Fatoni yang dianjurkan
pada petang semalam bertempat di Bangi Golf Resort. Sungguh beliau amat teruja
dan berpuas hati dengan penganjuran majlis petang semalam. DSAI lama berhajat
agar satu wacana dianjurkan tentang Syeikh Daud Fatoni. DSAI sudah lama membaca
dan mengkaji tentang sejarah dan warisan keilmuan Syeikh Daud Fatoni.
"Kalaulah saya mahir membaca tulisan jawi klasik, mudahlah saya membaca
kesemua khazanah beliau," ujar DSAI penuh bersemangat.
Dalam banyak cerita dan celoteh sementara menunggu masuk waktu
Isya', ada salah satu ceritanya yang ingin saya kongsikan pada pagi Jumaat ini.
Cerita ini pernah saya dengar daripada Kak Wan dan kali ini saya dengan
daripada lisan empunya diri.
Ketika zaman kanak-kanaknya DSAI banyak tinggal bersama
neneknya. Di Bukit Mertajam pada masa itu kebun-kebun buah pala banyak
diusahakan oleh petani-petani Cina. DSAI sama seperti kanak-kanak kampung lain,
petang-petang hari mereka bermain dan merayau di sekitar kampung. Buah-buah
pala yang masak ranum menarik perhatian budak-budak seusia 7-8 tahun seperti
DSAI. Apalagi mereka pun kutip buah-buah itu satu beg plastik seorang. Apabila
sampai di rumah, waktu sudah senja, nenek bertanya dengan tegas. Dari mana kamu
dapat buah-buah ini? Minta atau tidak dengan tuan kebun? Tuan kebun tahu atau
tidak kamu ambil buah-buah ini? Apabila jawabannya semua negatif atau 'tidak',
saat itu juga neneknya menyuruh pergi hantar semula. Letak beg palstik penuh
buah-buah itu dalam kebun yang kamu ambil tadi. DSAI cuba minta izin untuk
hantar esok pagi sahaja kerana hari sudah hampir Maghrib, suasana sudah gelap,
takut pun ada. Neneknya dengan tegas katakan tidak. Bahkan bertanya balas,
"jika kamu mati malam ini macam mana? Tidak lepas dosa kamu mengambil hak
oratng."
DSAI tiada jalan lain lagi melainkan mengikut perintah neneknya
itu dalam ketakutan, suasana gelap malam dan bersendirian. Mengakhiri cerita
yang ini, kata DSAI, "itulah tarbiyyah yang melekat dalam minda
kanak-kanak seawal usia 7-8 tahun sampailah kini. Jangan ambil hak orang."
Cerita ini mudah melekat dalam minda saya kerana ia telah
diceritakan dua kali kepada saya. Pertama kali oleh Kak Wan dan sekali lagi oleh
DSAi sendiri malam tadi. Apabila Kak Wan bercerita tentang kisah ini, ia
bermakna DSAI telah mentarbiah keluarganya tentang hak-hak yang mesti dijaga
dan dihormati seperti dia ditarbiah oleh keluarganya. Yang kedua,
Alhhamdulillah, saya juga mengamalkan perkara yang sama.
Minggu ini anak lelaki saya mendapat tawaran sambung belajar di
sebuah IPT. Seperti biasa seseorang pelajar mesti melakukan medical check-up
sebagai pra-syarat pendaftaran. Anak lelaki saya ini sejak tamat peperiksaan
yang lalu tidak duduk diam mencari kerja sambilan, termasuklah menjadi pengawal
keselamatan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (Masjid Besi) sehingga berjaya
mendapat pekerjaan di FamilyMart. Banyak kemudahan yang disediakan oleh
syarikat ini kepada pekerjanya termasuk kos perubatan RM50 sebulan dibayar oleh
syarikat. Anak lelaki saya bertanya, jika dia lakukan medical check-up di
klinik panel FamilyMart dia hanya perlu bayar RM120 sebagai kakitangan. Jika di
klinik biasa kena bayar RM170.00. Saya bertanya kepada dia dengan niat
memberikan tarbiah kepadanya.
"Bayaran RM50 oleh syarikat di klinik panel untuk
apa?" soal saya.
"Untuk berkhidmat dengan dialah," jawab si anak.
"Medical check-up ini ada kaitan dengan
perkhidmatankah?" soal saya lagi.
"Tidak," jawab si anak.
"Oleh itu tidak wajar dan tidak patut menggunakan kemudahan
diskaun RM50 itu sama sekali. Bayar sepenuhnya dan jangan sekali-kali guna hak
orang lain yang tidak ada kena-mengena dengan urusan kita," tegas saya
dengan harapan ia menjadi panduan hidupnya sepanjang hayat.
Demikianlah saya kongsikan pengalaman pemimpin idaman rakyat
Malaysia ini, yang saya rasa amat mujarab dengan jiwa saya. Semoga suatu hari
yang terdekat Allah SWT mengangkatnya menjadi pemimpin nombor satu negara yang
akan mengubah lanskap poltik negara ini keseluruhannya, in syaa Allah.