'Jangan samakan kes Anwar, Najib, kes Anwar tidak libatkan duit rakyat'

 


Pihak yang tidak bertanggungjawab bertindak menyamakan kes yang dialami oleh Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pemenjaraan bekas Perdana Menteri Najib Razak, harus sedar terdapat perbezaan besar di antara kedua dua kes berkenaan.


Bagi Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden KEADILAN itu bukan dipenjara kerana merugikan rakyat dan tidak ada wang yang terlibat di dalam kes melibatkan beliau sebagaimana Najib.


"Ini yang penting. Kalau nak bandingkan dengan kes Anwar.


"Kes Anwar apa dia? Kes Anwar tidak melibatkan duit. Masuk 6 tahun (dakwaan rasuah konon guna polis ugut saksi).


"Kita melihat itu tidak boleh disamakan. Kes Najib ada dokumen (jejak kewangan). Ini yang penting," katanya dalam sidang media Pelancaran Kuih Bulan Reformasi di Ibu Pejabat KEADILAN di Petaling Jaya, pagi tadi.



Oleh itu, Dr Wan Azizah tidak mahu rakyat merasa letih berjuang menegakkan keadilan dan terus melakukan perubahan agar semua yang terlibat dalam korupsi dihadapkan ke mahkamah dengan menyokong pihak yang mahu membuat reformasi pentadbiran.


"Ini juga, kita tidak mahu rakyat kata dah tukar 2018, kita letih. Mestilah tiap rakyat mengambil kira sebab kita boleh tukar (kerajaan). Jika sebab pengkhianatan (rakyat letih), kita mesti bangun lebih kuat untuk tukar kerajaan (yang mengandungi pengkhianat).


"Kita mahu rakyat jangan rasa letih, lesu," katanya.


Beliau juga menyeru agar rakyat mengambil semangat perayaan kuih bulan yang sinonim dengan Reformasi menentang kezaliman untuk menguatkan kembali semangat menghadapi Pilihan Raya Umum ke 15.


"Kuih bulan, satu semangat yang kita mesti teruskan, jangan kita hampakan masa depan anak cucu kita.


"Yang paling penting sokonglah, belilah kuih bulan ini.


"Kita tidak mahu minta charity saja. Kita usahakan, kita buatkan kuih ditambah dengan semangat rakyat bangun menentang kezaliman.


"Bukan sahaja kezaliman tetapi menentang pengkhianatan. Sebab kesetiaan adalah sesuatu yang penting dan begitu berharga.


"Kita mesti setia terhadap negara, kita pegang sebagai satu prinsip hidup kita," katanya lagi.


Selain Dr Wan Azizah Ismail, Bendahari Agung KEADILAN William Leong Jee Keen serta Naib Ketua Wanita June Leow Hsiad Hui dan beberapa pimpinan KEADILAN turut hadir dalam sidang media berkenaan.


No comments: