Mahfuz dedah PH belum muktamadkan lagi agihan kerusi PRU-15

 


Mahfuz dedah PH belum muktamadkan lagi agihan kerusi PRU-15


Pakatan Harapan (PH) belum memuktamadkan jumlah pengagihan kerusi bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), termasuk yang ditinggalkan BERSATU.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar, berkata pihaknya ketika ini masih dalam proses perbincangan pengagihan kerusi bersama rakan komponen dalam PH.

“Itu kita akan bincang untuk membuat pengagihan dalam PH, belum dimuktamadkan lagi.

“Buat masa sekarang, kita belum sampai peringkat kerusi yang majoriti Melayu itu disepakati, setakat ini yang bertanding adalah AMANAH dengan PKR,” katanya selepas merasmikan Konvensyen AMANAH Perak, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi AMANAH Perak, Datuk Asmuni Awi. Mahfuz berkata, pihaknya juga masih dalam perbincangan dan belum dapat mendedahkan kerusi sasaran untuk AMANAH.

Beliau berkata, AMANAH menyasarkan pertambahan kerusi, sekali gus memenangi semua kerusi dipertandingkan pada PRU-15.

Mengulas mengenai perpecahan dalam UMNO yang mungkin memberi ruang untuk PH bangkit dalam PRU-15 kali ini, Mahfuz berkata: “Dari segi peluang ya (bangkit), memang saya akui bahawa sedikit sebanyak memberikan penyumbang untuk ke arah itu.”

“Bagi saya sekarang ini bukan soal peluang AMANAH, PH menang dan sebagainya, tetapi peluang rakyat untuk mendapat kesedaran dan dengan sendiri akhirnya menyedari bahawa kelompok kleptokrat dan pengkhianat ini mesti ditolak oleh rakyat,” katanya, seperti dilaporkan BH.