Mahfuz kata cara kerajaan tangani kenaikan harga barang melucukan, macam Maharaja Lawak

 

Mahfuz kata cara kerajaan tangani kenaikan harga barang melucukan, macam Maharaja Lawak


Cara kerajaan menangani isu kenaikan harga barangan yang kini membebankan rakyat bukan sahaja dilihat melucukan malah menunjukkan kerajaan ketika ini tidak berupaya untuk mentadbir negara dengan baik.

Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, ketidakmampuan kerajaan itu boleh dinilai dengan kewujudan pasukan khas yang ditubuhkan sebelum ini bagi menangani peningkatan kos sara hidup.

“Kita lihat kerajaan hari ini adalah kerajaan pak lawak, kerajaan maharaja lawak. Dia (kerajaan) yang menaikkan harga ayam, dia juga yang melancarkan jihad untuk menghadapi inflasi.

“Ini satu keadaan yang melucukan dalam negara kita. Dalam sejarah kita memiliki sebuah kerajaan, inilah kerajaan yang paling lemah dan tidak memberi kesan yang baik kepada masa depan rakyat,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Amanah Negeri Perak 2022 di sini hari ini.

Menurut Mahfuz, kerajaan dilihat buntu dalam menghadapi keadaan inflasi dan kenaikan harga barang sehingga mahu mewujudkan sebuah pasukan khas bagi menangani isu sama.

Malah katanya, cadangan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menubuhkan MPN peringkat negeri juga disifatkan sebagai satu pembaziran.

“Saya nampak kerajaan ini buntu, kita sampai ada tiga pasukan khas iaitu Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol), kemudian MPN dan kini yang baharu (Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi) yang semua memainkan peranan dan fungsi yang sama dalam mengatasi inflasi. Saya fikir apa lagi idea baharu yang boleh diperolehi daripada (Jihad) sedangkan pasukan khas sebelum ini tidak nampak apa-apa idea yang boleh digerakkan kepada usaha yang baik.

“Sekarang, Muhyiddin suruh tubuh MPN peringkat negeri, kita habiskan wang untuk mesyuarat, makan karipap dan pulut udang tetapi perut rakyat terus kelaparan.  Saya tidak nampak ini (penubuhan pasukan khas) sebagai satu penyelesaian konkrit yang dapat dinikmati oleh rakyat,” katanya, lapor Utusan.


No comments: