Annuar nafi atur rancangan dengan Ismail Sabri rebut jawatan tinggi UMNO
Raja Hisyam Raja Zaid
Julai 4, 2022
Annuar musa nafi pernah berbincang untuk berganding bahu dengan Ismail Sabri Yaakob bertanding merebut jawatan tertinggi dalam Pemilihan UMNO. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Tan Sri Annuar Musa hari ini menafikan spekulasi kononnya beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengatur rancangan untuk bertanding dalam Pemilihan UMNO akan datang bagi merebut kerusi tertinggi kepimpinan parti tersebut.
Ahli Parlimen Ketereh itu menegaskan, setakat hari ini, tiada sebarang perbincangan seperti yang didakwa segelintir pihak diadakan.
Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) dalam masa sama tidak menolak pernah mendengar desas-desus tersebut.
"Tidak pernah bincang. Saya tahu ada pihak yang menyebarkan carta barisan pemimpin dan sebagainya tetapi kita mempunyai masa yang banyak untuk fikir perkara tersebut.
“Namun, kami tidak pernah duduk berbincang tentang barisan calon atau pertandingan. Kami mempunyai tugas (lain) untuk laksana, jadi susahlah nak kata macam mana," katanya hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Anugerah Penghargaan Industri Ekonomi Digital Malaysia sempena sambutan Jubli Perak Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) di sini, hari ini.
Menyentuh mengenai pindaan Perlembagaan UMNO yang diluluskan Persidangan Agung Khas UMNO pada 15 Mei lalu berhubung penangguhan Pemilihan UMNO, beliau berharap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) akan segera memberikan maklum balas terhadap notis pindaan itu seperti dikemukakan UMNO pada 17 Mei lalu.
Jelasnya, ROS perlu memberikan memberi jawapan segera dalam masa terdekat untuk membolehkan UMNO meneruskan langkah dan perancangan seterusnya.
Kata Annuar, ROS juga mempunyai masa sehingga 60 hari dengan tarikh terakhirnya pada 16 Julai ini untuk membuat keputusan ke atas pindaan Perlembagaan tersebut.
Pindaan membabitkan Fasal 10.16.1 tersebut adalah berbunyi: "Majlis Kerja Tertinggi (MKT) berhak menangguhkan pemilihan di peringkat MKT, Bahagian dan Cawangan. Penangguhan ini tidak lebih daripada lapan belas (18) bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya ia diadakan ATAU tidak lebih daripada enam (6) bulan selepas diadakan sesuatu Pilihan Raya Umum (PRU) Parlimen (Dewan Rakyat) yang mana terkemudian."