Rafizi dijangka ‘lunakkan’ cara bercakap keras, terus terang


facebook sharing button 
twitter sharing button 
whatsapp sharing button 
email sharing button 

Impak Rafizi Ramli dalam PRU15 dijangka besar kerana beliau dilihat mempunyai penyokong daripada kalangan pengundi muda, baik ahli parti mahupun orang luar.

PETALING JAYA: Seorang penganalisis menjangkakan bakal timbalan presiden PKR Rafizi Ramli akan mengurangkan gaya “bercakap keras dan terus terang” kerana beliau kini perlu berurusan dengan pemimpin pembangkang lain secara tetap.

Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, Rafizi tidak mungkin akan mencetuskan pergolakan seperti yang dilakukannya ketika tidak memegang jawatan kanan dalam PKR atau Pakatan Harapan (PH).

“Rafizi dahulunya sangat ‘keras’ dan bersikap terus terang apabila menangani beberapa isu,” katanya kepada FMT.

“Tetapi ini ketika beliau masih mentah dan tidak dianggap sebagai jurucakap partinya.

Azmi Hassan.

“Sekarang apabila beliau akan pegang jawatan penting dalam parti dan mungkin dalam gabungan PH, beliau akan sedar bahawa beliau perlu bekerjasama dengan sekutu bukan sahaja dalam PH tetapi juga dalam parti pembangkang lain.”





Menurutnya, Rafizi akan berhati-hati kerana menjadi jurucakap parti dan akan berwaspada serta fokus dalam membawa idea menarik dan baharu dalam gabungan pembangkang.

Membuat spekulasi mengenai impak bekas ahli Parlimen Pandan itu dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang, Azmi berkata, ia dijangka besar kerana Rafizi dilihat mempunyai penyokong daripada kalangan pengundi muda, baik ahli parti mahupun orang luar.

“Program Ayuh Malaysia yang dilancarkan dan dijalankan bersama Nurul Izzah menarik ramai penyokong daripada golongan belia di luar PKR, yang merangkumi semua kaum.

“Gandingan ini menarik minat belia. Sebagai timbalan presiden, Rafizi kini memberi nilai tambah bukan hanya kepada PKR tetapi PH secara keseluruhannya.”

Beliau berkata, cabaran terbesar akan dihadapi Rafizi adalah dalam menentang pandangan Presiden PKR Anwar Ibrahim. Kedua-duanya perlu menangani isu konsep “khemah besar” secara muhibah, tambahnya.

“Anwar adalah peminat tegar konsep itu manakala Rafizi menentangnya,” katanya.

“Kemenangan Rafizi yang meyakinkan dalam pemilihan PKR memberinya kekuatan untuk tidak bersetuju dengan Anwar atau memberi pandangan yang bertentangan mengenai strategi parti, tetapi beliau pasti akan berhati-hati apabila menangani isu khemah besar.”

Rafizi sebelum ini secara terbuka menyatakan pendirian tidak mahu bekerjasama dengan parti yang tidak sejajar dengan prinsip PKR, tetapi Azmi menjangkakan beliau akan menerima hakikat bahawa PH memerlukan sebanyak bantuan yang boleh daripada parti pembangkang lain untuk berjaya dalam PRU15.

“Beliau akan berlembut sedikit kerana jawatan yang disandangnya itu menggalas sesuatu tanggungjawab,” katanya.

Azmi turut menjangkakan akan melihat perubahan drastik dalam hala tuju parti pada PRU15 kerana strategi yang digunakan pada pilihan raya negeri (PRN) Johor, Sarawak dan Melaka, yang kebanyakannya dirangka oleh Anwar, gagal.

“Rafizi dijangka akan tampil menyuntik idea baharu untuk parti serta PH untuk membantu mereka menghadapi PRU15,” katanya.


No comments: