Kenyataan Media
Majlis Presiden
Pakatan Harapan
1 Jun 2022
Pakatan Harapan Tidak
Setuju Perkenal Semula GST
Majlis Presiden
Pakatan Harapan tidak bersetuju dengan cadangan Perdana Menteri, Dato' Seri
Ismail Sabri Yaakob untuk melaksana semula sistem percukaian GST. Dalam keadaan
inflasi yang semakin tinggi, rakyat sangat terkesan dengan kenaikan kos sara
hidup serta pendapatan isi rumah yang berkurangan akibat pandemik COVID-19.
Pengenalan semula GST
bakal mengakibatkan harga barang meningkat dengan mendadak. Jika ditambah
dengan masalah rantaian bekalan serta gaji yang tidak meningkat, rakyat akan
menerima tekanan yang amat dahsyat.
Pada ketika persepsi
tatakelola serta urustadbir Kerajaan belum pulih akibat skandal 1MDB, tatkala
Malaysia berada di kedudukan ke-62 dalam indeks persepsi rasuah Transparency
International serta kedudukan ke-2 dalam indeks kapitalisme kroni
(crony-capitalism index) The Economist, adalah tidak munasabah Kerajaan
bercadang untuk mengutip lebih banyak cukai dari rakyat tanpa membuktikan
dahulu reformasi dan penambahbaikan urustadbir Kerajaan telah berjaya
dilaksana. Tiada guna mengutip lebih banyak cukai jika akhirnya nanti duit
rakyat dibazirkan akibat rasuah, ketirisan dan kronisme.
Perdana Menteri juga
perlu diingatkan bahawa majoriti rakyat Malaysia telah menolak GST dalam
pilihanraya yang lalu.
Oleh itu, Pakatan
Harapan tidak bersetuju dengan cadangan memperkenal semula cukai GST selagi
pelbagai isu ini terus membelenggu rakyat.
Anwar Ibrahim
Parti Keadilan Rakyat
(KEADILAN)
Mohamad Sabu
Parti Amanah Negara
(AMANAH)
Loke Siew Fook
Parti Tindakan
Demokratik (DAP)
Madius Tangau
Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO)