Seorang bekas menteri tidak perlu menjadi “hero” dengan menghina dan memperlekehkan usaha serta perjuangan memartabatkan bahasa Melayu, kata Speaker Dewan Negara Rais Yatim.
Katanya, bekas menteri itu tidak sepatutnya bersikap seperti kacang lupakan kulit dalam usaha menjadikan bahasa kebangsaan itu sebagai bahasa diplomatik, ilmu dan komersial.
Beliau berkata, tidak ada negara di dunia ini yang akan jatuh dalam memperjuangkan bahasa kebangsaannya.
“Dalam vokasi hidup, kalau hendak ilmu apapun boleh dicapai dengan bahasa sendiri. Cuma mahu tak mahu sahaja. Kuatkanlah azam politik.
“Lihat negara lain seperti Korea, Jepun dan Rusia. Betapa jauhnya mereka ke hadapan walaupun menggunakan bahasa kebangsaan masing-masing. Jadi apa salahnya jika bahasa Melayu digunakan dalam semua perkara termasuk komersial, undang-undang, diplomatik, perubatan dan sains.
“Bahasa Inggeris ada macam-macam nilai utiliti padanya. Komersial, undang-undang, diplomatik, perubatan, sains dan teknologi,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Sabtu lalu FMT melaporkan kenyataan bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Rafidah Aziz, yang membidas Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali kerana menggesa Jabatan Perkhidmatan Awam meneliti tindakan yang boleh diambil ke atas pihak yang mengambil mudah arahan berkaitan pemerkasaan penggunaan bahasa Melayu.
Katanya, kecekapan penjawat awam dalam bahasa Inggeris akan menjadi pemacu utama dalam menarik pelaburan tinggi negara.
Tambahnya lagi, langkah tidak melengkapkan anak muda dengan kemahiran bahasa dan komunikasi berkesan hanya akan merugikan negara.
“Kita harus maju dan bergerak ke hadapan, bukan mundur ke belakang dan ke bawah,” katanya.
Rais ketika mengulas lanjut berkata, beliau menggambarkan bekas menteri itu sudah hilang punca mengenai pusaka bangsa dan seharusnya tidak dijadikan ikutan.
“Bagi yang tidak senang dengan apa yang hakiki bagi bahasa Melayu boleh berhujah tetapi jangan menakut-nakutkan rakyat bahawa negara ini akan jatuh ranap di mata dunia semata-mata kerana memartabatkan bahasa Melayu.
“Soal bahasa kebangsaan yakni bahasa ilmu termasuk bahasa diplomatik atau komersial tidak harus dipertikaikan dalam perjuangan bahasa itu demi negara,” katanya.
Sumber –FMT