PRU15 bila-bila masa dari sekarang, PM seru BN bersedia
Hasimi Muhamad
Jun 1, 2022 16:21 MYT
Perdana Menteri berkata, martabat BN perlu diangkat semula sebagai wadah politik yang berupaya mengembalikan kegemilangan negara dan bangsa - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru agar semua ahli Barisan Nasional (BN) bersiap sedia bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang dijangka tiba pada bila-bila masa dari sekarang.
Perdana Menteri berkata, martabat BN perlu diangkat semula sebagai wadah politik yang berupaya mengembalikan kegemilangan negara dan bangsa.
Berdasarkan keputusan beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN), Ismail Sabri berkata, isyarat jelas yang ditunjukkan ialah rakyat kembali memberi kepercayaan kepada BN.
Keadaan itu, tambah beliau, membuktikan BN mampu menawarkan kestabilan politik, kemakmuran ekonomi serta kesejahteraan negara.
"Walaupun pada penilaian kita, rakyat sudah kembali kepada BN, kita tidak boleh merasa selesa kerana masih banyak yang perlu dilakukan untuk memenangi hati rakyat, bagi menjamin kejayaan dalam PRU-15.
"Demi memastikan mimpi buruk 22 bulan tidak berulang, kita wajib bekerja keras, bersiap siaga dan bersatu padu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang akan tiba bila-bila masa dari sekarang, bagi mengekalkan rentak kemenangan yang telah kita capai mutakhir ini," katanya di sini, pada Rabu.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen BN bertemakan “Kesetiaan dan Kestabilan” bersempena dengan ulang tahun gabungan parti itu yang ke-48 hari ini.