KELUARGA MALAYSIA AKAN KENA GST LAGI

 

Tuddia aih! Hahaha... Kita kasi gelak je la. Dah nak buat macamana lagi? GST memanglah satu sistem percukaian yang paling cekap. Itu memang diakui. Dan GST dapat menambah pendapatan kerajaan. Itu juga tak dinafikan.

Tapi ada beberapa perkara yang perlu dipertimbang jika GST hendak dilaksanakan. Pertamanya masa. Sesuaikah ia dilaksanakan pada waktu ini? Dengan harga ayam dan minyak masak serta banyak lagi barangan lain meroket?

Rakyat juga ramai yang kehilangan kerja. Jika GST dilaksanakan waktu ini, walaupun kerajaan dakwa akan disalurkan kepada subsidi, masalahnya rakyat tak punya duit untuk belanja. Nak dapat subsidi tu macamana kalau tak mampu nak berbelanja?

Keduanya, ketelusan. Betullah subsidi boleh tambah pendapatan kerajaan. Tetapi dengan kerajaan yang ada sekarang, mampukah kita percaya wang itu tak akan diselewengkan? Sedangkan masih ramai lagi penyamun dalam kerajaan.

Ketiga, tiadakah ada cara lain untuk menambah dana kerajaan? Contohnya, cara paling mudah, dengan mengecilkan saiz kabinet, hentikan lantikan sia-sia seperti penasihat yang begitu ramai, duta khas bertaraf menteri dan lain-lain.

Kalau saiz kabinet dikurangkan menjadi separuh dan semua lantikan membazir ini dihapuskan, kerajaan mampu berjimat jutaan ringgit sebulan. Wang itu bolehlah digunakan untuk menampung subsidi untuk rakyat.

Kerajaan juga boleh gantung projek mega yang memakan belanja yang besar. Bukan hentikan terus tapi sementara sahaja sehingga ekonomi kembali stabil. Nasib rakyat seharusnya lebih utama dari projek besar serta poket kroni.

Begitu juga dengan kos selenggara bangunan atau kediaman atau apa saja yang mana ada antaranya menelan belanja hingga ratusan juta setahun. Itu semua bukan keperluan mendesak. Hentikan atau kurangkan kosnya. Tak boleh?

Kenapa rakyat juga yang jadi sasaran kerajaan bagi menambah pendapatan. Setelah gagal mengurus keperluan rakyat, juga gagal menyediakan peluang pekerjaan, kini kerajaan mahu cungkil duit dari poket rakyat. Sungguh zalim!

Amat malang, kerajaan melihat rakyat sebagai sumber pendapatan. Benarlah cakap Najib. Cash is king dan king adalah rakyat. Jadi bila kerajaan mahu cash, perahlah daripada rakyat sampai rakyat kering sekering keringnya.

Inikah yang dinamakan Keluarga Malaysia? Bila rakyat disiksa akibat keculasan, kecuaian serta kelemahan kerajaan mentadbir? Inikah kerajaan yang dibanggakan sangat orang Melayu? Kalau buat GST, orang Melayu tak susah ke? Guane boh?

Raja Gelap