Gaji Minima RM1,500 tiada makna jika GST kembali - Wong Chen

 



Usaha kerajaan untuk memperbaiki kehidupan golongan B40 akan lenyap sebaik sahaja Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan sekiranya BN menang dalam Pilihan Raya Umum ke 15.



Menurut Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, tiada kecukupan pendapatan bagi golongan B40 apabila harga barang naik secara keseluruhan sekali lagi dengan pelaksanaan GST.



Katanya, gaji RM1,500 tidak akan melegakan golongan berkenaan kerana mereka tidak akan merasai lagi nilai gaji itu



"Memang apa apa penambahan gaji bagi golongan pekerja (yang diberi) gaji minima (baru baru ini) akan lesap kerana mereka kena bayar cukai GST yang lebih tinggi," katanya ketika dihubungi.



Lebih malang, tegas Wong Chen, cukai GST akan lebih dirasai oleh golongan berpendapatan rendah dan miskin berbanding orang kaya kerana ia dikira berdasarkan barangan yang dibeli atau perkhidmatan digunakan, bukannya jumlah pendapatan.



"GST adalah cukai yang cukup regresif, maknanya ia lebih menekan golongan miskin dari golongan kaya," katanya.



Bagaimanapun beliau berkata, cukai GST boleh dipertimbangkang sekiranya taraf hidup di Malaysia telah meningkat dan golongan B40 semakin mengecil



Hal itu, katanya memerlukan perubahanan struktural yang besar dan kerajaan yang lebih cekap memerintah.



"Cukai GST boleh diberi pertimbangan, tetapi ia memerlukan situasi keadaan ekonomi yang lebih stabil dan maju," ujarnya.



GST mula ditimbulkan dalam kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bulan lalu, kemudian Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz cuba meyakinkan rakyat bahawa GST sekiranya kembali akan ditambahbaik berbanding yang pernah dilaksanakan pada 2016 lalu.

No comments: