PKR tidak akan kerjasama dengan Azmin


Syukri Shaari
PKR tidak akan kerjasama dengan Azmin
KUALA LUMPUR: PKR tidak akan berbincang atau bekerjasama dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Itu ketetapan yang dibuat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR selepas mesyuarat yang diadakan pada Isnin.
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil menerusi kenyataan dalam laman Facebook beliau menjelaskan, keputusan itu dibuat memandangkan Mohamed Azmin dianggap sebagai antara punca 'Langkah Sheraton', yang menyaksikan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini.
"MPP juga memutuskan bahawa PKR tidak akan berbincang atau bekerjasama dengan Azmin Ali, yang dianggap oleh anggota, penyokong parti serta orang ramai sebagai salah satu punca utama berlakunya pengkhianatan 'Langkah Sheraton'," jelas beliau.
Baru-baru ini, sebuah portal mendakwa berlaku pertemuan antara Mohamed Azmin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dengan dua wakil PKR di Hotel Sheraton, Petaling Jaya.
Bagaimanapun, Mohamed Azmin yang pernah menjadi Timbalan Presiden PKR ketika diajukan mengenai kesahihan perkara itu memberitahu tidak ingat hotel mana dikunjunginya dan siapa yang ditemui pada minggu lalu berikutan jadual kerja yang padat.
Dalam perkembangan lain, Fahmi menjelaskan, MPP turut bermesyuarat mengenai pemilihan parti dan persiapan kongres PKR.
Katanya, pihak Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) akan mengumumkan dalam masa terdekat secara rasmi saf kepimpinan baharu bagi cabang dan pemimpin utama PKR.
"Saf kepimpinan baharu ini perlu bergerak pantas, sederap dan dalam satu pasukan yang kukuh bagi menghadapi musuh-musuh politik PKR pada Pilihan Raya Umum ke-15," ujar beliau.
Menurut Fahmi, MPP turut memutuskan Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan akan diteruskan pada 15 Julai ini di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam.
Katanya, Kongres Nasional juga akan diteruskan pada 16 dan 17 Julai di lokasi sama.
"Kongres kali ini akan menumpukan kepada kesiapsiagaan jentera parti bagi menghadapi PRU15 serta pembubaran Parlimen yang boleh berlaku pada bila-bila masa selepas 31 Julai,"jelasnya.