TUUUU...DIA Cikgu Fadli tuduh pegawai PPD ‘Little Napoleon’ tutup isu silibus aras tinggi, sedia diambil tindakan

 


Guru berpengaruh di media sosial, Mohd Fadli Salleh tidak menolak
 kemungkinan dikenakan tindakan tatatertib kerana bersuara mengenai
 isu silibus aras tinggi di Facebook. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Sistem pendidikan negara rosak disebabkan kewujudan “Little Napoleon” di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) yang “menyorok” kebenaran isu silibus aras tinggi yang dibebankan ke atas guru dan pelajar sekolah rendah.

Pandangan lantang itu ditegaskan guru berpengaruh di media sosial, Mohd Fadli Salleh, yang sering mengupas keluhan guru dan ibu bapa mengenai standard silibus pendidikan negara.

Fadli atau lebih dikenali Cikgu Fadli mendakwa, pegawai PPD tertentu cuba mengunci mulut guru yang meluahkan pandangan mereka mengenai isu silibus aras tinggi untuk murid Darjah 1 hingga 6.

“Sepatutnya suara cikgu ini, PPD yang bawa. PPD bawa ke JPN (Jabatan Pendidikan Negeri). JPN bawa kepada Kementerian Pendidikan (KPM). Ini apa PPD buat? Dia diamkan guru. Dia tak mampu buat, dia hubungi JPN, suruh diamkan guru (yang mengkiritik silibus).

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

“JPN tak mampu, dia hubungi KPM, KPM pula diamkan guru ini dengan tindakan ugutan dan sebagainya. Itu yang berlaku dalam sistem pendidikan kita sebenarnya,” kata beliau yang mempunyai kira-kira 600,000 pengikut di Facebooknya.

“Sudahlah PPD tak perjuangkan (isu silibus terlalu laju). Orang (guru) tolong perjuangkan, kau (PPD) pula nak tutup (mulut guru). Itulah perangai yang merosakkan. Itulah Little Napoleon,” katanya dalam sesi secara langsung di laman Facebooknya semalam.

“Little Napoleon” merujuk kepada pegawai yang sombong dan berlagak dengan kuasa.

FMT telah menghubungi pejabat Menteri Pendidikan, Radzi Jidin untuk mendapatkan respons.

Fadli sebelum ini konsisten mempersoalkan kewajaran silibus Matematik, Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Semakan 2017 yang didakwanya terlalu sukar dan “laju” bagi tahap kefahaman pelajar berumur tujuh hingga 12 tahun.

Ujarnya, silibus yang “dibanggakan” pihak tertentu tidak disokong dengan fasiliti dan kemudahan secukupnya di sekolah, termasuk capaian internet dan khidmat guru pembantu.

Malah, pembelajaran subjek Matematik di sekolah kerajaan hanyalah lima waktu seminggu, katanya.

Ini berbeza dengan di China yang memperuntukkan 20 waktu untuk subjek itu, manakala 15 waktu di Singapura, kata beliau.

Fadli berkata, semakin ramai guru Matematik mengeluh tidak mempunyai masa mencukupi untuk mengajar dan memastikan pelajar memahami apa yang diajar.

Malah katanya, ada guru yang tidak sempat menghabiskan silibus tahunan.

Merujuk kepada ungkapan “little Napoleon”, Fadli berkata, beliau pernah ditekan oleh pegawai pendidikan hanya kerana mempersoalkan kewajaran silibus Matematik dalam kursus orientasi buku teks baharu pada 2019.

“Penerangan diberi oleh pegawai PPD dan JPN Gombak. Saya bangun dalam kursus tersebut, saya persoalkan kenapa silibus begitu, begini. Dia nak bersilat dengan saya, tentang kepakaran saya. Jadi sampai mereka tak boleh jawab.

“Orang (pegawai) PPD mengaku kalah. (Mereka) panggil orang JPN suruh jawab, pun sama. (Mereka) panggil pegawai…dari Putrajaya turun tiga hingga empat orang, mereka ini panel penggubal silibus.

“Berdebat dengan saya, tapi sampai sudah tak nak mengaku kesalahannya. Dia kata dia paling betul. (Dia dakwa) cikgu yang tak pandai mengajar menyebabkan murid tak faham,” ceritanya.

Beliau berkata, pandemik Covid-19 yang memaksa sekolah ditutup membawa hikmah tersendiri dalam meningkatkan kesedaran awam mengenai kesusahan pembelajaran dan pengajaran silibus aras tinggi.

“Syukurnya hikmah PKP (perintah kawalan pergerakan), sangat ramai ibu bapa mula buka mata betapa susahnya silibus anak-anak mereka. Mereka terpaksa belek buku untuk ajar anak ketika PDPR (Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah), baru mereka sedar tingginya silibus anak mereka,” ujarnya.

Fadli tidak menolak kemungkinan, sebagai kakitangan kerajaan, beliau akan dikenakan tindakan tatatertib kerana bersuara mengenai isu ini dalam siaran langsung di Facebook.

“Sekarang bila sudah viral, orang mula bertanya. Orang dah sedar, apa tindakan pertama mereka (PPD, JPN, KPM)? Tindakan pertama adalah mereka akan cari siapa yang hebahkan? Mereka akan cari Cikgu Fadli lah. Tak mustahil saya kena panggil oleh Unit Integriti (KPM).

“Tak mustahil ‘live’ ini telah dirakam untuk dijadikan bukti untuk tindakan tatatertib, dikenakan hukuman, buang kerja, tak naik gaji, buang sekolah, disekat kenaikan pangkat. Tak mustahil, sebab memang begitu cara dia,” katanya.

Namun Fadli memberi amaran bahawa beliau akan mengambil tindakan undang-undang jika pihak atasan mengambil apa jua tindakan ke atasnya.

“Kalian, ‘Little Napoleon’ ini, yang suka ugut-ugut ini…kalian boleh ugut orang yang takut. Aku tak takut dengan itu semua. Ugut orang takut…dia undur, ugut orang tak takut, dia makin masuk…lagi rapat.

“Nak buang (kerja), buanglah. (Nak kenakan) tindakan tatatertib…tatatertiblah. Negara kita bukan hanya ada kuasa kau sahaja. Kita negara demokrasi berparlimen. Kita ada undang-undang persekutuan.

“Jika tindakan kepada saya, contoh ditukar sekolah, disekat kenaikan pangkat, dibuang (kerja), saya akan perjuangkan isu ini (sehingga ke) Mahkamah Persekutuan sebab saya anggap itu salah guna kuasa. Hak bersuara dijamin Perlembagaan Malaysia,” tegas Cikgu Fadli.