Periksa SPRM kerana tak siasat nama besar berhubung dana UKSB, kata C4

 

SPRM digesa mengeluarkan kenyataan umum mengenai kegagalannya melancarkan siasatan terhadap ahli politik yang dikaitkan dengan UKSB

PETALING JAYA: Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) menggesa Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara memeriksa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana tidak bertindak menyiasat individu yang didakwa menerima sogokan daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).

C4 juga meminta SPRM mengeluarkan kenyataan umum mengenai kegagalannya melancarkan siasatan terhadap ahli politik lain yang dikaitkan dengan UKSB walaupun mempunyai akses kepada kandungan lejar syarikat.

“SPRM perlu disiasat atas tindakan yang kelihatan selektif ini,” katanya dalam kenyataan.

Ia mendakwa ketiadaan undang-undang mengenai pembiayaan politik menyebabkan orang ramai tidak sedar bagaimana sumbangan kepada parti dan pemimpin politik boleh dikaitkan dengan politik.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Ini juga mengaburkan garis antara derma politik dan rasuah, tambahnya.

“Walaupun ia mungkin sumber pembiayaan politik yang sah, tanpa peraturan dan pengawasan yang sewajarnya, ia bukan sahaja membuka pintu kepada kemungkinan berlakunya rasuah besar-besaran antara ahli politik yang berkuasa dan syarikat yang mencari pengaruh, tetapi juga merosakkan kepercayaan orang ramai terhadap sistem politik,” katanya.

David Tan, saksi utama dalam perbicaraan rasuah bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi, memberitahu mahkamah minggu lepas bahawa komputer ribanya yang mengandungi senarai pembayaran dan pemacu pena USB yang mengandungi salinannya dirampas oleh SPRM pada Oktober 2018.

Menurut keterangan bekas pengurus pentadbiran UKSB itu, antara individu lain yang menerima dana daripada UKSB adalah bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, bekas ketua menteri Sabah Shafie Apdal, bekas menteri luar Anifah Aman dan Menteri Rerumahan dan Kerajaan Tempatan Reezal Merican Naina Merican.

Minggu lepas, bekas pengarah UKSB Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani juga memberitahu mahkamah bahawa syarikatnya memberikan wang kepada bahagian Umno Rembau, tetapi bukan secara langsung atau peribadi kepada Khairy Jamaluddin, yang ketika itu merupakan menteri belia dan sukan dan antara pemimpin bahagian itu.

Zahid, 69, berdepan 33 tuduhan menerima rasuah berjumlah SGD13.56 juta (RM42 juta) daripada UKSB sebagai dorongan atas kapasitinya sebagai penjawat awam dan menteri dalam negeri ketika itu untuk menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali pusat sehenti (OSC) di China dan sistem visa asing (VLN), serta mengekalkan perjanjian membekalkan peralatan sistem bersepadu VLN kepada syarikat itu.

Dalam tujuh tuduhan lagi, beliau didakwa sebagai menteri dalam negeri memperoleh SGD1,150,000, RM3 juta, 15,000 franc Swiss dan wang tunai USD15,000 daripada syarikat yang sama berhubung tugas rasminya.




No comments: