Jawatan MPP: Otai Reformis mahu buat perubahan dalaman
Pencalonan untuk jawatan Majlis Pimpinan Pusat dalam Pemilihan KEADILAN 2022 hari ini menyaksikan NGO Otai Reformis 1998 menghantar dua pimpinan utama mereka untuk bertanding.
Dua pimpinan itu ialah Timbalan Presiden Otai, Mustafa Mansur Amer Mohd Isa dan Setiausaha Otai, Razak Ismail.
Menurut Mustafa, KEADILAN memerlukan ‘gabungan’ kepimpinan generasi awal reformasi di samping generasi lebih muda bagi memantapkan parti.
“Saya rasa dengan adanya gabungan daripada kelompok muda, tua, otai dan lain-lain akan melengkapkan lagi makna sebuah perjuangan yang mengangkat kemanusiaan dan keadilan serta menentang segala bentuk kezaliman, rasuah dan salah laku kuasa,” katanya dipetik.
Sementara itu, Razak yang sering vokal dalam membangkitkan isu isu alam sekitar berkata, parti memerlukan kepimpinan yang lebih segar bagi membantu Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membangkitkan sokongan rakyat.
Parti juga, katanya memerlukan mekanisme semak dan imbang untuk memastikan suara akar umbi diperjuangkan.
“Kita lihat sekarang apa yang berlaku, kepimpinan kita agak sukar untuk menegur pemimpin-pemimpin negeri, contohnya.
“Jadi kita rasa adalah wajar kalau kita nak buat perubahan itu, kita kena buat dalaman. Kita tak mahu (hanya) ‘yes man’ dalam parti,” ujar beliau.
Dua pemimpin Otai Reformis itu bertekad untuk memperkasakan perjuangan asal reformasi terutama kepada generasi muda di dalam parti agar rakyat melihat KEADILAN sebagai pejuang tulen isu isu golongan akar umbi.