Kemenangan Rafizi bukti ahli PKR mahu perubahan, kata penganalisis

 

facebook sharing button 
twitter sharing button 
whatsapp sharing button 
email sharing button 
Rafizi Ramli mendahului saingan bagi jawatan timbalan presiden PKR.

PETALING JAYA: Kemenangan besar Rafizi Ramli dalam pemilihan PKR menunjukkan ahli parti mendambakan perubahan dalam kepimpinan, kata penganalisis politik selepas beliau mendahului saingan untuk jawatan timbalan presiden.

Rafizi mendapat 67,895 undi setakat 8.30 malam tadi, menewaskan pencabarnya, Saifuddin Nasution yang meraih 48,797 undi, selepas keputusan dari semua negeri dan Wilayah Persekutuan, kecuali Sarawak, dikira.

Saintis politik, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini menunjukkan Presiden PKR, Anwar Ibrahim memerlukan seorang timbalan yang “kuat”, iaitu “seseorang yang boleh menyuntik idea berbeza dalam parti”.

Katanya, persepsi semasa menunjukkan Saifuddin bersekutu rapat dengan Anwar.

Azmi Hassan.

“Ini mungkin sebab ahli cenderung kepada Rafizi,” katanya kepada FMT.

Azmi berkata, Rafizi secara terbuka menentang konsep “khemah besar” yang dibawa Anwar untuk menyatukan semua parti pembangkang bagi menentang Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang.

Oh Ei Sun.

April lalu, Rafizi berkata, beliau menentang idea itu dengan merujuk kepada “Langkah Sheraton” pada Februari 2020 yang mengakibatkan Pakatan Harapan (PH) dikhianati Bersatu, yang ketika itu merupakan rakan gabungan.

Penganalisis politik, Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura bersetuju bahawa ahli PKR mahukan pembaharuan secara keseluruhan yang diharapkan dapat menghidupkan semula parti itu.


Pensyarah Universiti Sains Malaysia, Azmil Tayeb berkata, keputusan pemilihan PKR menunjukkan ahlinya mencari “seseorang di luar acuan Anwar” untuk mengambil alih jawatan presiden apabila beliau bersara.

“Tiba masanya untuk PKR keluar daripada bayangan Anwar dan menempuh jalan baharu yang tidak terikat dengan beliau menjadi perdana menteri.”

Azmil berkata, desakan supaya Anwar menjadi perdana menteri membantutkan kepelbagaian pendapat dalam parti dan menghalang pandangan alternatif daripada disuarakan.


No comments: