Pelakon Sharifah Sofia Syed Hussein menyoal kenapa pihak berkuasa berdiam diri mengenai kesan daripada cadangan projek perintis perlombongan lantanida yang akan berlaku di kawasan hutan simpan di Hulu Perak.
Menurut laporan EIA (penilaian kesan alam sekitar) projek berkenaan, kawasan itu merupakan habitat kepada 11 spesies hidupan liar terancam termasuk Harimau Malaya yang hampir pupus, dengan hanya 150 ekor saja lagi di alam semulajadi.
“Apabila anda menceroboh habitat sesuatu hidupan, ke manakah anda mengharapkan haiwan ini akan pergi? Hutan semakin mengecil.
“Apabila haiwan ini berkeliaran di kampung, anda akan menembaknya.
“Saya terkejut agensi lain seperti Perhilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia) tidak bercakap banyak.
“Kenapa NGO yang selalu kena bersuara sepanjang masa? Di manakah pelindung hidupan liar ini? Di manakah penjaga hutan?
“Mengapakah rakyat yang perlu sentiasa bersuara dan memperjuangkan perkara yang betul? Bukan sahaja untuk rakyat tetapi untuk planet bumi ini juga,” katanya kepada Malaysiakini.
Sharifah, pada awal bulan ini terlibat dalam kempen untuk pemuliharaan harimau – ‘A Walk for Tigers’ – dengan berjalan sejauh 240km dari Sungai Relau di Taman Negara ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Katanya, kempen itu bertujuan untuk mendapatkan pengisytiharan daripada Mahkamah Tinggi bahawa harimau Malaya akan pupus dalam tempoh 10 tahun akan datang akibat penebangan hutan.
Menurut Sharifah Sofia lagi, sifat tamak dan kerakusan membawa kepada projek sedemikian.
“Sungguh menyayat hati apabila melihat bahawa tidak kira apa yang berlaku di sekeliling kita, sama ada banjir, gelombang panas, penyakit, air yang tercemar mahupun kesesakan lalu lintas, ketamakan masih kekal sebagai matlamat utama.
“Orang-orang ini tahu apa yang mereka lakukan, namun mereka tidak mengambil berat tentang akibat daripada perbuatan mereka.”
Harimau liar kurang 150 ekor
Menteri Besar Perak Saarani Mohamad mengumumkan awal minggu ini Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah meluluskan EIA untuk perlombongan nadir bumi minggu lepas, menjadikannya potensi hasil baru untuk negeri itu.
Ini kemudiannya disahkan oleh Ketua Pengarah JAS Wan Abdul Latiff Wan Jaafar, yang mendakwa status “tidak diluluskan” projek di laman web EIA JAS mungkin disebabkan oleh kesilapan teknikal.
Saarani berkata “projek perintis” itu dibuat di atas tanah Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPNP) dan syarikat yang dilantik akan ditugaskan untuk memeriksa sama ada terdapat unsur radioaktif berbahaya yang disebabkan oleh perlombongan itu atau tidak.
Menurut EIA, perlombongan akan dijalankan melalui kaedah “in-situ leaching” – yang memerlukan pengeboran lubang ke dalam tanah sehingga bahan kimia boleh dimasukkan ke tanah tersebut untuk membuang nadir bumi setelah larutan itu dikeluarkan untuk proses selanjutnya bagi memekatkan kandungannya.
Kata laporan EIA, ini dilakukan dengan membina tujuh loji hidrometalurgi serta mewujudkan lubang suntikan dan sistem paip.
Projek itu meliputi 11 bidang tanah dengan keluasan 2,161 hektar milik Menteri Besar Incorporated Perak, Majlis Daerah Gerik, Felcra Bhd dan PPNP.
Ini bersamaan dengan kira-kira 3,026 padang bola sepak.
Tinjauan kebangsaan oleh Perhilitan, WWF-Malaysia dan NGO lain dari 2016 hingga 2020 mendapati populasi harimau Malaya liar yang tinggal di hutan Malaysia kurang daripada 150 ekor, berbanding kira-kira 3,000 ekor pada tahun 1950-an.
“Kehilangan habitat akibat pembangunan pesat, pengembangan pertanian dan pemburuan yang berleluasa telah menyebabkan populasi berkurangan kepada kira-kira 500 ekor pada permulaan abad ini,” kata WWF-Malaysia.
Harimau Malaya ialah spesies yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan diklasifikasikan sebagai terancam kritikal di bawah Senarai Merah Kesatuan Pemuliharaan Alam Semula Jadi Antarabangsa bagi Spesies Terancam (IUCN).