KEMENANGAN RAFIZI RAMLI TIUPAN AMGIN SEGAR DALAM PKR

 1. Kemenangan Mohd Rafizi Ramli yang hampir sahih sebagai Timbalan Presiden PKR meniupkan udara segar kepada parti itu dan sepatutnya memberi ilham kepada semua parti politik mengambil langkah “mempermudahkan” kepemimpinan masing-masing.

2. DAP telah mempelopori proses ini pada pemilihan Mac lalu yang menyaksikan bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengambil alih jawatan Setiausaha Agong, iaitu jawatan utama parti tersebut, Lim Guan Eng menjadi Pengerusi dan Lim Kit Siang mengundurkan diri.


3. Maklumat daripada laman web khas PKR mengenai pemilihan pucuk pimpinan 2022, menunjukkan yang Rafizi mendahului Saifuddin Nasution Abdullah dengan jurang yang luas. Saifuddin adalah Setiausaha Agong PKR.

4. Media massa melaporkan setakat jam 9.30 malam tadi, berdasarkan keputusan yang dikongsi di laman web rasmi Pemilihan PKR, Rafizi mendapat sebanyak 66,359 undi daripada kebanyakan cabang di negeri-negeri manakala Saifuddin memperoleh 47,986.

(https://pemilihankeadilan2022.com/keputusan-pemilihan-keadilan-2022/)


5. Kekalahan beberapa orang pemimpin kanan yang seangkatan dengan Anwar Ibrahim memberi gambaran jelas yang ahli parti itu mahu kepemimpinan yang lebih muda dan mengurangkan pergantungan kepada kepemimpinan veteran.

6. Rasanya, setelah memberi kemenangan tanpa tentangan kepada Anwar sebagai Presiden, pemilih berasa lebih bebas dan selesa untuk memilih sesiapa saja yang mereka suka untuk jawatan Timbalan Presiden dan seterusnya.

7. Dalam konteks ini, Saifuddin yang dilihat sebagai terlalu akrab dan setia kepada Anwar berada dalam keadaan yang tidak menguntungkan walaupun jasa beliau kepada PKR dan Pakatan Harapan jauh mengatasi Rafizi.

. Saya harap beliau masih mempunyai peranan penting dalam PKR dan politik nasional menjelang pilihan raya umum ke-15 ini dan Rafizi pula boleh menarik Undi 18.

9. Umno/BN dan parti-parti yang bersekongkol dengannya wajib dihalang daripada mengekalkan kuasa yang mereka peroleh melalui rampasan kuasa dan tipu helah.

10. Kegilaan kuasa kepemimpinan Umno, khususnya kluster mahkamah dan kleptokrat, ini jelas apabila mereka memanggil Perhimpunan Agung Khas 15 Mei lalu semata-mata bagi meminda Perlembagaan supaya pemilihan parti ditangguhkan sehingga lepas PRU nanti.

Wallahuaklam.

A Kadir Jasin

Tokoh Wartawan Negara.



No comments: