Jangan rasa besar sangat – Hamzah tempelak Mat Maslan

 

Jangan rasa besar sangat – Hamzah tempelak Mat Maslan


Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin menafikan kenyataan yang menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin yang mengambil keputusan keluar daripada parti menunjukkan bahawa Bersatu lemah.

Sebaliknya Hamzah berkata ketika ini Bersatu merupakan parti yang kuat dan mempunyai wakil dalam barisan Kabinet.

Diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan itu, Hamzah menegaskan bahawa keputusan individu yang keluar tidak ada kena mengena dengan parti.

Malah Ahli Parlimen Larut itu meminta agar Ahli Parlimen Pontian berkenaan untuk tidak cuba membuat kenyataan yang bersifat ‘mengadu domba’ atau bercakap besar.

“Jangan cuba nak mengadu domba kerana Yang Amat Berhormat menjadi perdana menteri. Itu kedudukan jumlah yang ada dengan beliau, hanya sedikit saja.

“Yang lain-lain itu daripada parti-parti lain. Saya nak mengingatkan kepada Ahmad Maslan, jangan rasa besar sangat,” katanya, memetik Astro Awani.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas di Stadium Indera Mulia Ipoh pada Sabtu.

Pada Jumaat, Ahmad Maslan dilaporkan menyifatkan tindakan Zuraida meninggalkan Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM), menunjukkan parti di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu semakin lemah.

Selain itu beliau berkata Rang Undang-undang Antilompat Parti perlu dibentangkan di Parlimen pada Julai ini biarpun tiada Sidang Dewan Khas.

Pada Khamis, Zuraida mengumumkan meletak jawatan sebagai Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi selepas melompat parti daripada Bersatu ke PBM.


No comments: