HANS BERTANDING KETUA CABANG UNTUK LAKUKAN PERUBAHAN
Hans bertanding Ketua Cabang untuk lakukan perubahan
Ahli politik mungkin seseorang yang begitu berminat dengan pentadbiran negara tetapi tidak kurang juga yang terpaksa menyertai politik untuk memperbaiki keadaan persekitarannya.
Hal itu berlaku kepada tokoh seni Datuk Gerald Hans Isaac.
Menurut beliau, tidak ada dalam kamus hidupnya sebelum ini untuk menjadi ahli politik apatah lagi bertanding sebagai Ketua Cabang Ampang.
Namun perkembangan politik semasa yang bobrok menyebabkan beliau terpanggil aktif bagi membela kampungnya, Ampang.
“Saya pergi ke merata Ampang. Setiap kali saya dengar luahan perasaan. Pada mulanya saya tak fikir apa apa pasal politik. Saya bukan ahli politik. Saya orang sini, kampung saya di Ampang. 40 tahun lebih duduk sini.
“Saya sayang Ampang. Ibu bapa ada di Ampang. Sebab itu saya dan pasukan sedia ada cuba mendapatkan mandat dari akar umbi (untuk buat perubahan). Kami nak suara akar umbi,” katanya.
Kata beliau, bukan sedikit kawan kawan yang menegurnya menceburkan diri dalam politik, apatah lagi bertanding. Namun tegas Hans, masalah tak akan selesai dengan hanya melihat dan membiarkan orang berkuasa berbuat ikut kehendak mereka.
“Kawan kawan kata gila ke Hans nak buat ni (berpolitik), tetapi bila kita di kedai kopi bincang, itu tak betul, ini tak betul tetapi hakikatnya mereka hanya bercakap.
“(Bagi saya) inilah masa untuk berkhidmat kepada negara,” katanya dalam Majlis Ramah Mesra Aidilfitri bersama calon Ayuh Ampang Baru di Dewan Orang Ramai Taman Seri Ampang, petang semalam.
Bagi beliau, ahli politik yang boleh diyakini adalah yang mengotakan kata kata. Menurut Hans, beliau mahukan sokongan untuk lebih membantu penduduk tetapi tidak pernah merayu undi sebagaimana ahli politik lain.
“Yang penting kita ada misi di Ampang, apa kita nak buat. Banyak orang politik berjanji, dapat undi, lepas itu tidak tahu apa jadi.
“Saya, sekali pun tak cakap undilah saya. Saya hanya nak orang yang ikhlas bersama kami,” katanya.
Seorang lagi pemimpin yang bertanding di Ampang dalam pasukan Ayuh Ampang Baru adalah calon Ketua Wanita KEADILAN Cabang Ampang, Raiyan Abd Rahim Ghouse.
Mantan Exco Wanita KEADILAN pusat dan MPP itu merasakan wanita di Ampang mempunyai potensi yang besar dan setia bersama parti biar pun ketua cabangnya telah berkhianat.
“Saya lihat potensi yang amat besar, kesetiaan tidak boleh dibeli. Wanita KEADILAN masih kukuh di Ampang. Itu menunjukkan komitmen kepada perjuangan sebenar.
“Potensi ini perlulah kita kembangkan lagi. Kita mesti tingkatkan skil dan ilmu wanita Ampang, kita mesti memperluaskan peluang untuk wanita Ampang terlibat dalam politik pilihan raya dan kepimpinan.
“Kalau di peringkat wanita pusat kita ada Biro Pembangunan Komuniti, Biro Keusahawanan, Biro Latihan. Banyak kelebihan dan manfaat,” katanya.
Beliau akan berusaha untuk membawa perubahan kepada wanita di Ampang sementelah cabang tersebut dalam negeri Selangor yang telah diperintah KEADILAN dan Pakatan Harapan sejak 3 penggal lalu.
“Saya akan berusaha memastikan cabang Ampang akan mendapat kelebihan dan manfaat itu. Di peringkat wanita pusat kita selalu fikir bagaimana nak push wanita kita lebih berani untuk cari pemimpin yang berani dan proaktif,” katanya lagi.