Pasangan curang, ini cara ‘lawan’ perosak rumah tangga

 


facebook sharing button 
twitter sharing button 
whatsapp sharing button 
email sharing button 
Peguam Syarie, Atikah Rashid berkata, jika pasangan berlaku curang,
 isteri boleh mendapat mut’ah, nafkah iddah dan nafkah tertunggak,
 manakala suami pula boleh memfailkan kes nusyuz di Mahkamah
 Syariah.

PETALING JAYA: Seorang peguam berkata, mengambil kesempatan menggunakan kuasa viral mendedahkan kecurangan pasangan akibat onar orang ketiga bukanlah jalan penyelesaian baik.

Peguam Syarie, Atikah Rashid berkata, isteri atau suami yang mempunyai bukti kukuh mengenai kecurangan pasangan bersama orang ketiga boleh membuat aduan kepada Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam negeri.

“Media sosial bukanlah tempat yang terbaik untuk mendapatkan penyelesaian terhadap sesuatu masalah.

“Sepatutnya pihak yang dalam kesusahan atau menginginkan penyelesaian, carilah badan yang berautoriti bagi memastikan isu atau masalah dapat ditangani sebaiknya,” katanya kepada FMT.

Ads by Kiosked

Berikut adalah proses aduan dan pelaksanaan berhubung kesalahan syariah melibatkan pihak ketiga:

  • Mangsa dikehendaki membuat aduan dengan mengisi borang aduan melibatkan pihak ketiga.
  • Menyediakan bukti dalam bentuk gambar, dokumen atau mesej di mana-mana aplikasi terlibat.
  • Setelah mendapati bukti mencukupi, pegawai agama boleh membuka kertas siasatan.
  • Pendakwa Syarie kemudiannya akan membuka dan meneliti kertas siasatan yang diajukan kepadanya oleh pegawai agama.

Beliau berkata, mengganggu rumah tangga orang lain adalah kesalahan yang boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997.

Atikah Rashid.

“Sekiranya ada bukti kukuh dan mencukupi, perosak rumah tangga boleh didakwa di bawah peruntukan Akta Kesalahan Jenayah Syariah. Jika didapati bersalah, mereka boleh dikenakan hukuman maksimum seperti pemenjaraan,” katanya.

Beliau berkata, pelbagai kesalahan boleh dikenakan, antaranya peruntukan Seksyen 36, iaitu memujuk lari perempuan bersuami, yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Satu lagi contoh dipetiknya adalah Seksyen 37 Akta 559 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 kerana menghalang pasangan sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri.

Katanya, Seksyen 38 pula, iaitu menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan, memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya.

Ads by Kiosked

Mengulas lanjut, Atikah berkata, antara langkah yang boleh dibuat sekiranya terbukti pasangan berlaku curang adalah mendapatkan hak selepas diceraikan.

“Jika suami yang berlaku curang, isteri boleh mendapat mut’ah, nafkah iddah dan nafkah tertunggak. Isteri juga boleh memohon penceraian melalui fasakh kerana suami berlaku curang dan tidak menjalankan tanggungjawabnya.

“Jika isteri yang berlaku curang, suami boleh memfailkan kes nusyuz di Mahkamah Syariah supaya tidak layak menerima nafkah sebagai isteri,” ujarnya.