PENDEDAHAN RASUAH ZAHID HAMIDI MENIPISKAN LAGI PELUANG UMNO MENANG PRU15


 Kecuali ahli UMNO yang taksub, semua rakyat Malaysia rata-ratanya terkejut dengan keterangan seorang saksi dalam perbicaraan rasuah melibatkan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi berkaitan sistem pengurusan visa luar negara pada minggu lalu.

Saksi tersebut, bekas Pengarah Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), Harry Lee Vui Khun mengesahkan bahawa syarikat tersebut telah menghantar wang tunai antara SG$200 ribu dan SG$520 ribu setiap bulan selama empat tahun dari 2014 kepada 2018 kepada Zahid Hamidi yang ketika itu adalah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri.

Harry Lee juga memberitahu mahkamah, UKSB turut menaja percutian Zahid Hamidi ke luar negara, majlis sambutan hari jadi isterinya serta untuk hari raya.

Walaupun saksi itu kemudian memberitahu mahkamah, semua pemberian wang itu adalah sumbangan politik, perkara itu tetap menimbulkan banyak persoalan.

Benarkah ia sumbangan politik atau saksi itu berkata demikian untuk mengelakkan dirinya terkait dengan pertuduhan memberi rasuah?

Bukankah memberi rasuah dan menerima rasuah sama-sama suatu kesalahan?

Lagi pun, kalau ia sumbangan politik, mengapa semua wang itu diberikan dalam bentuk mata wang Singapura?

Pernahkah UMNO bahagian-bahagian menerima peruntukan dalam bentuk wang tunai Singapura daripada Zahid Hamidi untuk aktiviti parti?

Tidakkah selama ini semua peruntukan untuk UMNO bahagian-bahagian diuruskan oleh ibu pejabat parti?

Pernahkah juga Zahid Hamidi memasukkan duit yang diterimanya dalam mata Singapura itu ke dalam akaun ibu pejabat UMNO?

Dengan banyak persoalan mengenai wang itu terus bermain-main di fikiran rakyat Malaysia tanpa jawapan, keadaan itu dengan sendirinya meletakkan UMNO dalam kedudukan paling buruk di mata rakyat serta terus terhakis sokongan.

Selain Najib Razak selaku Presiden UMNO ketika itu yang dikaitkan dengan skandal 1MDB sehingga menggegar dunia dan mengakibatkan BN ditolak rakyat pada PRU 2018, apa yang terdedah dalam perbicaraan Zahid Hamidi itu nampaknya satu lagi episod malang buat UMNO.

Dengan Zahid Hamidi sebagai pemimpin yang berimej agama, boleh jadi imam dan banyak membina surau, masjid serta pusat tahfiz telah terkait dengan rasuah dahsyat sebegitu, apa lagi yang boleh diharapkan kepada UMMO?

Sepatutnya, dengan imej sedemikian serta latar belakang baik keluarganya, Zahid Hamidi adalah manusia terakhir sekali yang boleh dikaitkan dengan amalan rasuah di negara ini.

Di mana-mana, sejak pendedahan saksi tersebut, rata-rata rakyat di pelbagai peringkat terlihat marah, sedih, mencemuh dan mencebik bibir terhadap Presiden UMNO itu.

Sungguh tidak disangka, begitu sekali apa yang didedahkan mengenai perlakuannya sebagai seorang pemimpin.

Kalau selama ini skandal Najib dianggap begitu dahsyat, apa yang dilakukan Zahid Hamidi ternampak tidak kurang dahsyatnya.

Dengan itu, sekurang-kurangnya selagi Zahid Hamidi ada sebagai Presiden UMNO dan mengambil bahagian lagi dalam PRU15 akan datang, BN pasti dalam keadaan sukar dan nipis peluang untuk diundi rakyat.

Rakyat yang waras sudah tentu akan menolak dan tidak mahu bersekongkol dengan pemimpin buruk seperti itu.

Menerima rasuah melalui jawatan awam yang disandang, di samping seseorang itu telah menerima kemudahan gaji, elaun dan kediaman mewah yang dikutip daripada cukai rakyat, perbuatan ini adalah pengkhianatan paling celaka sekali sebenarnya.

Sebab itu, pemimpin yang begitu, selagi mereka ada, bukan saja dirinya wajar ditolak, malah juga parti yang mereka menjadi pemimpinnya.

Rakyat mesti dan wajib menolak mereka itu jika mahu negara ini selamat dan anak cucu kita memperolehi kehidupan yang terjamin di masa depan. – ShahbudinHusin 21/05/2022.